Bersederhana dalam memahami bid’ah

- Advertisement -

ENTAH di mana silapnya, topik berkenaan bid’ah sering mengundang salah faham dan diuruskan secara sentimen tanpa sikap objektif dengan disiplin ilmu. Terdapat beberapa perkara asas yang perlu difahami, demi menjamin kita tidak silap dalam menanggapi permasalahan bid’ah.

Maksud bid’ah

Kita tidak boleh secara pukul rata memahami kononnya bid’ah semata-mata perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi. Itu hanyalah makna umum dari sudut bahasa. Adapun bid’ah dari sudut istilah merujuk kepada perkara-perkara yang diniatkan kononnya untuk mendekatkan diri kepada Allah, tetapi bercanggah dengan aturan agama. 

Maksudnya bila kita bicara berkenaan bid’ah, ia merujuk kepada perkara yang dari sudut niat macam baik. Namun dari sudut cara, tidak selari dengan syara’. Sedangkan ikhlas dan menepati syara’ adalah syarat sesebuah amalan diterima di sisi Allah.

Disebabkan itu pelaku bid’ah selalunya terdiri dalam kalangan orang yang ada kesungguhan dalam beragama, tetapi jahil. Boleh juga disebutkan, bid’ah adalah implikasi dari beragama secara jahil.

Antonim kepada bid’ah adalah sunnah. Justeru apa-apa yang ada sandaran nasnya dengan pendalilan yang sah serta pada ruang yang dibenarkan, ia tidak dianggap sebagai bid’ah kerana selari dengan aspirasi sunnah.

Pembahagian bid’ah

Sememangnya berlaku khilaf dalam kalangan ulamak dari sudut pembahagian bid’ah. Ada yang berpandangan bid’ah semuanya sesat. Pandangan ini ditegaskan oleh Imam Malik. Sementara muridnya, iaitu Imam Syafie membahagikan kepada bid’ah baik – bid’ah sesat. Ada juga yang membahagikan bid’ah kepada 5, sesuai dengan pembahagian hukum taklif. Iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Pandangan ini dikemukakan oleh Imam Izzuddin Abdul Salam dan Imam Syaukani.

Ringkasnya, kita tidak perlu terlalu larut membahaskan khilaf pembahagian-pembahagian tersebut kerana menurut Syeikh Dr Wahbah Zuhaili, khilaf itu hanyalah berlegar dalam konteks bahasa sahaja. Sementara dari sudut konsep dasarnya, semua ulamak bersepakat bahawa sesuatu yang diada-adakan dalam urusan agama tanpa sandaran dalil serta tanpa pendalilan yang sah, maka ia adalah bid’ah yang tercela.

Usah qiaskan bid’ah dengan urusan dunia

Menurut Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hal-hal yang membabitkan inovasi dalam urusan duniawi diistilahkan sebagai ibda’. Islam memberi keluasan dalam hal seperti itu. Justeru tidak wajar jika memborongkan teknologi yang memudahkan urusan kehidupan manusia sebagai bid’ah.

Selalu juga kedengaran sindiran yang mengatakan jika tolak bid’ah, maka jangan gunakan teknologi zaman sekarang kerana Nabi tidak pernah buat. Ternyata sindiran seumpama itu hakikatnya menyingkap kejahilan penyindir itu sendiri.

Sejarah dan proses panjang

Awal kesyirikan bermula dari zaman kaum Nabi Nuh, tatkala mereka melakukan bid’ah ketika mengagungkan 5 tokoh soleh dalam kalangan mereka yang sudah meninggal dunia. Kisah ini ada diceritakan di dalam surah Nuh. Akhirnya mereka menyembah patung Wad, Suwa’, Ya’uq, Yaghuth dan Nasra yang asalnya dibina hanyalah bertujuan sebagai sumber inspirasi mereka untuk beribadat.

Melalui sejarah tersebut, ternyata kesan bid’ah sangat besar kerana pelakunya sukar untuk disedarkan akibat tenggelam dengan alasan ‘apa salahnya kalau niat ikhlas’. Hal ini turut ditegaskan oleh Imam Sufyan al-Thauri bahawa bid’ah lebih digemari oleh Iblis berbanding maksiat, kerana orang yang melakukan maksiat lebih mudah didorong untuk bertaubat. Sedangkan pelaku bid’ah agak sukar untuk disedarkan kerana tidak rasa berdosa bahkan rasa komited dalam beribadat.

Disebabkan itu, para Sahabat menunjukkan contoh aplikasi Sadd al-Zarai’ ketika menguruskan sebarang potensi bid’ah yang bakal muncul dalam kalangan masyarakat. Bermaksud mereka tidak tunggu masyarakat terseleweng, mereka tidak biarkan masyarakat bermain di sempadan agama. 

Sebaliknya mereka tutup awal-awal pintu penyelewengan sebelum ianya benar-benar berlaku kelak. Inilah yang ditunjukkan oleh Saidina Umar ketika beliau memberi amaran, bahkan mengarahkan agar pokok Baiah Ridwan ditebang kerana ketika itu sudah kelihatan muncul bibit-bibit pemujaan yang tidak boleh dibiarkan.

Dalih yang terkeluar dari landasan

Ramai juga yang keliru lalu membandingkan bid’ah dengan maksiat, munkar dan fahsya’. Selalu juga pelaku bid’ah berdalih dalam rangka mempertahankan penyelewengan dalam agama yang dibuat itu dengan mengungkit dosa-dosa lain seumpama konsert, judi dan rasuah yang tidak dibenteras. 

Ayat seperti kenapa sibuk bahas bab bid’ah, sedangkan kasino dibiarkan, kerap didengari dan ia berleluasa. Apabila seseorang cuba mengaplikasikan Fiqh Awlawiyyat tanpa aturan yang betul dan fokus yang jelas terhadap sesuatu permasalahan yang sedang dibahaskan, maka dia akan mudah terjebak menggunakan falasi Red Herring.

Dalih seumpama itu hanyalah cubaan untuk melencongkan konteks perbahasan sekali gus menzahirkan kekeliruan mereka dalam mengklasifikasikan jenis-jenis kesalahan menurut perspektif agama. Hakikatnya semua jenis dosa itu perlu dicegah dengan bijaksana dan sudah pasti masing-masing para daie berperanan dengan fokus yang berbeza-beza.

Stigma

Ada juga golongan hari ini yang cuba membingkaikan kononnya kesedaran terhadap bahaya bid’ah hanyalah paranoid yang diada-adakan oleh kelompok yang dilabel sebagai Wahabi. Lantas masyarakat tidak diasuh dengan ilmu, melainkan dibakar sentimennya.

Hinggalah sesiapa sahaja yang mengingatkan berkenaan bahaya bid’ah akan dituduh kononnya sebagai Wahabi. Akhirnya ayat al-Quran serta Hadis yang mengingatkan berkenaan bahaya tersebut, secara beransur-ansur dilupakan.

Implikasi dari stigma yang diterapkan itu, memberi ruang selesa kepada ajaran-ajaran yang terseleweng dari landasan agama untuk rancak berkembang. Lantas masyarakat tidak dipupuk dengan ilmu, melainkan disuap rasa beragama secara palsu.

Pedoman

Imam Ibnu Kathir ketika menafsirkan surah al-Ahqaf ayat 11, antaranya beliau menegaskan:

- Advertisement -

“Kalaulah sesuatu (kata-kata dan amalan) itu baik, sudah pasti ia terlebih dahulu dibuat oleh para Sahabat. Kerana mereka tidak meninggalkan sebahagian dari kebaikan-kebaikan, melainkan merekalah yang terlebih dahulu akan berlumba mengerjakannya.”

Para ulamak kita mengajar agar jangan sama sekali pintas para Sahabat. Hierarki tersebut perlu dijunjung penuh adab dan komited. Dari sudut maqam kemuliaan dan keutamaan ilmu, generasi hasil ‘air tangan’ Nabi itulah yang paling layak menterjemahkan Islam yang sebenarnya bagaimana.

ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD – HARAKAHDAILY 1/6/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!