Kecewanya mentaliti ‘tin milo’

- Advertisement -

PADA hari Ahad lepas berakhirlah Muktamar PAS Kali ke-69 di Shah Alam, Selangor. Selama 3 hari para pimpinan dan perwakilan telah berkumpul di ibu negeri tersebut untuk melaksanakan satu tanggungjawab penting. Selain dari mendengar dan membahaskan ucapan dasar dari Presiden Parti, tahun ini juga melihat pemilihan pimpinan tertinggi yang dilakukan 2 tahun sekali. Muktamar tahun ini sungguh bermakna kerana ia berlangsung setelah PAS mencapai prestasi yang cemerlang pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan 43 kerusi Parlimen dan 150 kerusi Dewan Undangan Negeri.

PAS telah berjaya menguasai 4 negeri di Utara dan Pantai Timur Semenanjung justeru mungkin ramai yang menjangka Muktamar tahun ini akan berlangsung di salah satu negeri tersebut. Walau bagaimanapun Lembah Kelang telah dipilih untuk himpunan tahunan parti terbesar negara dari segi kerusi-kerusi yang dimiliki. Pemilihan Selangor, negeri termaju di Malaysia, boleh dilihat sebagai satu penegasan bahawa PAS bukan semata-mata parti untuk ‘Malay belt‘ tetapi parti untuk seluruh negara. Pada PRN lepas, PAS berjaya memenangi 10 kerusi DUN di Negeri Selangor berbanding dengan hanya 1 pada PRN sebelumnya. Sementara PERIKATAN NASIONAL (PN), memiliki 22 kerusi DUN, hanya kekurangan 7 kerusi untuk membentuk kerajaan.

Pemilihan Shah Alam boleh juga dilihat sebagai menzahirkan hasrat PAS dan PN untuk menguasai semula bukan sahaja Negeri Selangor tetapi Kerajaan Pusat. Muktamar yang berlangsung begitu hampir dengan pusat pentadbiran negara di Putrajaya dan di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah membawa mesej jelas yang sudah tentu dapat dibaca oleh penganalisis-penganalis politik negara. Tetapi keputusan ini telah menimbulkan kemarahan sesetengah pihak yang cemburu dengan kehadiran Muktamar PAS di Lembah Kelang. IDCC di mana Muktamar kali ini berlangsung dikatakan mewah. 

PAS dituduh bermewah-mewahan walau bagaimanapun tidak ada bezanya IDCC dari kompleks-kompleks milik PAS  di mana himpunan-himpunan tahunan ini pernah diadakan. Mungkin mereka yang meroyan ini tidak pernah menjejakkan kaki di kompleks-kompleks PAS seperti Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (PUTIK), di Pengkalan Chepa dan Kompleks PAS Kedah di Alor Setar. Dewan-dewan kompleks itu sama hebat dengan IDCC. Kompleks-kompleks itu pula berada di atas tanah yang 4 atau 5 kali ganda lebih luas dari IDCC. PAS juga telah memiliki sebuah kompleks di Lembah Kelang sejak tahun-tahun 80-an yang hari ini telah digunakan oleh sebuah kolej universiti.

Saya terkejut mentaliti yang dipamerkan masih wujud ketika PAS telah menguasai 4 negeri dan pernah menjadi Kerajaan Pusat. Mungkin pada mereka jika program PAS perlu dianjurkan di dalam dewan buruk yang bocor apabila hujan turun dan di bawah pokok kelapa atau di tepi sawah padi. Ahli-ahli PAS pula digambarkan akan berjubah lusuh dan tidak bergosok sambil berkopiah kuning yang berbulan-bulan tidak dibasuh. Mereka juga akan memakai selipar putus yang diikat dengan tali rafia.

Saya masih ingat ketika mula-mula aktif di peringkat Cawangan pada awal tahun 90-an. Saya pernah pergi ke sebuah kedai runcit untuk membuat fotokopi surat-surat Cawangan saya. Pakcik yang menjaga kedai itu berkata kepada saya, “Oh kau dah masuk PAS, lepas ini kau nak jual kereta”. Saya terkejut dengan kata-kata pakcik tersebut. Ketika itu saya baru saja terlibat dengan politik di Malaysia setelah lebih 9 tahun belajar dan bekerja di UK. Justeru tidak memahami sangat maksud beliau. Mungkin pada beliau, orang PAS hanya layak berjalan kaki atau menaiki unta.

Tetapi di Shah Alam baru-baru ini, pandangan mereka yang berpemikiran ‘tin milo’ terbukti tidak lagi relevan. Golongan yang memandang rendah terhadap PAS ini boleh dilabel sebagai ‘golongan tin milo’ kerana menggelar PAS sebagai parti ‘tin milo’ kerana memungut derma menggunakan tin ketika program-program seperti ceramah umum. Tetapi ternyata gelaran ini tidak lagi relevan dan boleh dikembalikan kepada mereka yang selama ini mengejek PAS.

Hari ini mereka yang hendak menyumbang kepada PAS hanya perlu mengimbas kod QR. Mereka yang hendak menyumbang secara tetap kepada PAS juga perlu mengimbas kod QR untuk mendaftar. Potongan akan dibuat dari akaun bank peserta setiap bulan. PAS juga ada program kad SIM di mana setiap kali pengguna kad ini membuat ‘top-up‘, 5 peratus dari nilai ‘top-up‘ ini akan disumbangkan kepada PAS. Selain dari itu terdapat kad prabayar minyak yang khusus di mana setiap kali pemegang mengisi minyak sumbangan akan disalurkan kepada PAS.

Pada Muktamar tahun ini, PAS telah juga melancarkan aplikasi pelbagai fungsi MyOnePAS yang dilengkapi kemudahan e-dompet dalam usaha mendigitalisasikan pentadbiran dan pengurusan parti itu. Pelancaran aplikasi itu menjadikan PAS parti politik pertama dalam negara yang memiliki super app sendiri.

Muktamar tahun ini juga melihat satu usul melibatkan alam sekitar. Para perwakilan telah meluluskan satu usul agar PAS memainkan peranan yang penting untuk menyedarkan masyarakat tentang kesan-kesan perubahan iklim (climate change) dan pemanasan global (global warming). Di dalam ucapan penggulungan beliau Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man telah menggesa agar PAS menubuhkan NGO-NGO bagi melaksanakan tugas tersebut. Usul-usul bukan sahaja menyentuh isu-isu agama dan politik sahaja tetapi menyentuh semua aspek kehidupan.

Pada hakikatnya, PAS telah bergerak jauh ke hadapan sesuai dengan peredaran masa. Sesuai juga dengan keyakinan yang diberikan oleh pengundi ketika PRU dan PRN yang lepas. Walau bagaimanapun mereka yang menghina dan memperkecilkan PAS tidak akan berhenti. Mereka tahu susah untuk menandingi pencapaian PAS maka tidak ada jalan lain kecuali mengejek dan memburukkannya. Sentiasa mencari isu-isu kerana tidak mampu menonjolkan kehebatan diri mereka. Mereka terus dihantui sindrom penafian (denial sindrom). Tetapi ternyata sekali mereka yang bermentaliti ‘tin milo’ ini telah kecewa.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Bendahari PAS Pusat – HARAKAHDAILY 24/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -