DAP-PH terkedu, kewangan Sarawak diiktiraf ‘A’

- Advertisement -

PENARAFAN oleh Standard & Poors (S&P) Global sebuah syarikat penarafan antarabangsa membuktikan sangkaan dangkal Menteri Kewangan yang menghina rakyat Sarawak dahulu bahawa Sarawak akan bankrap dalam tempoh 3 tahun. Penarafan A oleh syarikat tersebut telah membuktikan Sarawak akan kekalkan prestasi kewangan yang baik, fleksibiliti belanjawan yang tinggi dan kemudahan mudah tunai. Ini adalah bukti kelemahan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan rakan-rakannya yang memang lemah dari sudut memahami kedudukan fiskal ekonomi Sarawak. Malah S&P ini adalah syarikat penarafan yang sehingga serta dipercayai oleh Menteri Kewangan tersebut.

Ini adalah suatu berita baik buat rakyat Sarawak kerana jangkaan akan berlaku peningkatan hasil Sarawak. Maka, Kerajaan Negeri perlulah fokus untuk mencapai target tersebut melalui cukai jualan petroleum, hasil aktiviti hiliran komoditi, perdagangan komoditi global dan ditambah lagi dengan perkembangan perbelanjaan fiskal yang didorong oleh peningkatan infrastruktur. Rakyat Sarawak boleh menikmati hasil ini nanti pada tahun mendatang dengan meningkatkan lagi pemberian kepada rakyat Sarawak dari sudut infra awam, bantuan kewangan kepada rakyat dan banyak lagi agar rakyat Sarawak dapat merasai hasil dari negeri sendiri.

Kini, seluruh negara pula bimbang dengan keadaan ekonomi negara.  Pengurangan perbelanjaan yang membebankan rakyat, polisi yang tidak seimbang, pengalaman ekonomi yang lemah dan keengganan Menteri-menteri sendiri yang mengurangkan perbelanjaan dan elaun mereka telah cukup membuktikan kelemahan DAP-PH dalam memerintah negara. Berbanding Sarawak menurut S&P lagi pada 2019, Sarawak menghadapi bon sukuk RM100 juta dan bayaran prinsipal bon US$35 juta, ditambah dengan kos faedah sebanyak AS$105.4 juta. Rizab tunai juga menurut mereka boleh membayar hutang 38 kali dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Kini, seluruh rakyat Malaysia telah melihat bagaimana kepincangan berlaku di sana sini sepanjang Pakatan Harapan memerintah. Rakyat Sarawak perlu mengambil pengajaran dari apa yang berlaku sebelum mereka menjarah kewangan negeri ini, jangan biarkan mereka mendapat kuasa di Sarawak. Tambahan, Sarawak memerlukan pemimpin yang cerdik pandai, latar belakang pendidikan yang baik agar kemakmuran negeri akan terus dinikmati. Ini tidak akan dapat dicapai apabila ada di kalangan pemimpin menjadi Menteri tetamu dari sudut pendidikan dan pengalaman yang sangat lemah malah menipu sijil pendidikan.

ZHARUDIN NARUDIN
Ketua Penerangan PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 26/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -