Campur tangan PRU Singapura dakwaan berlebih-lebihan

Konon pemimpin PAS cuba pengaruhi PRU republik itu

- Advertisement -

PAS mengambil maklum mengenai tindakan Kerajaan Singapura menyekat akses ke laman media sosial beberapa individu, termasuk dua orang pemimpin PAS, iaitu Bendahari Agung, Dato’ Iskandar Abdul Samad dan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, atas dakwaan cuba mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Umum 2025 negara itu.

Sebagai negara berdaulat, PAS percaya Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) Singapura mempunyai semua hak di sisi undang-undang untuk mengambil apa-apa langkah wajar dan sesuai bagi melindungi serta memelihara kepentingan-kepentingannya yang sah.

Oleh sebab isu ini turut melibatkan dua pemimpin PAS, perlu ditegaskan bahawa hantaran-hantaran yang dimaksudkan adalah pandangan peribadi mereka dan tidak sama sekali mewakili dasar dan pandangan PAS sebagai sebuah parti politik, baik tentang Singapura sebagai sebuah negara mahupun proses-proses yang berjalan di republik itu.

PAS percaya mereka berdua hanya menyuarakan pandangan peribadi masing-masing dan tidak bertujuan campur tangan, apatah lagi cuba mempengaruhi keputusan pilihan raya Singapura yang dijadualkan pada 3 Mei depan, seperti didakwa.

Selain respons segera mereka yang menafikan dakwaan tersebut di media sosial, dasar PAS berhubung hubungan rasmi dua pihak sebagai saluran sah dalam menyampaikan apa-apa pandangan atau membincangkan isu-isu kepentingan bersama, termasuk dengan Kerajaan Singapura, seperti yang terjalin selama ini ialah bukti jelas dakwaan itu tidak tepat atau benar.

Dalam dunia tanpa sempadan hari ini yang ditandai oleh akses maklumat dan komunikasi pantas ke seluruh dunia, tidak dapat dielakkan perkembangan yang berlaku di sesebuah negara atau tempat menarik minat atau mendapat reaksi langsung daripada individu di negara lain, terutama dalam hal-hal yang dianggap penting oleh individu terbabit.

Respons atau reaksi sedemikian tentulah tidak diwajar dianggap percubaan untuk campur tangan melainkan ia melibatkan langkah-langkah susulan sebenar dengan tujuan-tujuan itu.

- Advertisement -

PAS menghormati perhatian dan kebimbangan Singapura dalam hal ini, namun pada masa sama percaya reaksinya yang membabitkan dua pemimpin PAS itu adalah sedikit berlebih-lebihan dan bersifat sepihak terutama sekali ketika PAS sendiri mempunyai hubungan baik dan saling menghormati dengan kerajaan republik itu.

Terima kasih.

TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
28 April 2025 – HARAKAHDAILY 28/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!