Jangan matikan industri bola sepak negeri Perak

Wujudkan pelan pembangunan holistik

- Advertisement -

SAYA mewakili barisan Pembangkang di Dewan Negeri Perak ingin menyatakan rasa kecewa terhadap sikap Kerajaan Negeri Perak yang mengambil pendirian untuk tidak campur tangan dalam perkembangan dan pengurusan Perak FC serta pembangunan bola sepak di negeri ini.

- Advertisement -

Bola sepak bukan sekadar sukan, ia adalah elemen penting dalam pembinaan komuniti, memperkukuhkan perpaduan rakyat, serta mengharumkan nama negeri di peringkat nasional dan antarabangsa. Sikap lepas tangan Kerajaan Negeri terhadap masa depan Perak FC dan pembangunan sukan bola sepak secara amnya dilihat sebagai satu pengabaian terhadap minat dan aspirasi anak muda serta rakyat Perak.

Saya menggesa Kerajaan Negeri untuk:

● Memperkasakan semula peranan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sebagai badan utama yang bertanggungjawab dalam merancang, mengurus dan membangunkan bola sepak negeri secara profesional dan berintegriti.

● ⁠Menjalin kerjasama strategik yang kukuh dengan persatuan atau kelab sukan, badan korporat dan sektor swasta untuk menyediakan sumber manusia, kewangan dan prasarana yang mencukupi bagi memastikan kesinambungan dan kecemerlangan sukan bola sepak di negeri ini.

● ⁠Menyediakan pelan pembangunan sukan negeri yang komprehensif, merangkumi pembangunan bakat serta pembinaan atlet tempatan sebagai pelapis dari peringkat akar umbi, program latihan berterusan serta penambahbaikan kemudahan sukan.

● ⁠Memperkasakan bakat muda melalui liga semi profesional, sekolah sukan dan atlet SUKMA dengan memberi penekanan dan pendedahan secara langsung untuk mereka dapat dibina daripada awal sehingga mampu menjadi pemain profesional dan mewakili negeri Perak.

Adalah tidak memadai sekadar menyerahkan sepenuhnya kepada entiti swasta atau individu tanpa sebarang sokongan atau pemantauan rasmi dari pihak kerajaan. Bola sepak Perak memerlukan campur tangan bijaksana dan komitmen jelas dari pihak Kerajaan Negeri untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan yang pernah dibanggakan rakyat suatu ketika dahulu.

Kepimpinan daripada pihak kerajaan negeri serta Persatuan Bola Sepak Perak perlu berani, bertanggungjawab dan berpandangan jauh agar bola sepak Perak boleh bangkit semula dan kembali menjadi kebanggaan rakyat dan memastikan peminat di negeri tidak terus kecewa atas keputusan pihak kerajaan yang sepatutnya berperanan untuk merangka alternatif dan solusi melalui pembangunan sukan bola sepak di negeri ini.

HAJI RAZMAN ZAKARIA
Ketua Pembangkang
Dewan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 28/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -