Kajian: Rakyat yakini kerajaan tangani COVID-19

KUALA LUMPUR: Kajian dijalankan Pusat Penyelidikan Undian UCSI mendapati rakyat yakin dengan cara kerajaan Perikatan Nasional mengendalikan isu-isu berkaitan dengan COVID-19.

Advertisement

Pengarah pusat penyelidikan itu, Prof Madya Dr Pek Chuen Khee dalam satu kenyataan berkata keyakinan masyarakat terhadap kerajaan nampak positif dalam tinjauan yang dijalankan universiti itu terhadap 1,166 responden.

“Sejumlah 63.3 peratus (responden) sangat yakin dengan pemerintah semasa, sementara 36.7 peratus mengatakan sebaliknya.

“Kami tidak pasti adakah sentimen ini akan bertahan atau berkurang setelah beberapa pengumuman dibuat kerajaan dalam masa beberapa hari ini berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP), arahan kerja dari rumah dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat,” katanya.

Beliau berkata kerajaan perlu memberi perhatian terhadap perkara itu dan jika perlu menanganinya dengan sewajarnya. 

Menurut Dr Pek, kajian yang sama menunjukkan majoriti responden bersetuju bahawa satu jawatankuasa bersama kerajaan terdahulu perlu diadakan bagi membanteras pandemik berkenaan.

“Sejumlah 75.9 peratus responden bersetuju, sementara 24.1 peratus mengatakan sebaliknya,” katanya. – BERNAMA