TCO terhadap MB Terengganu tidak masuk akal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Perjalanan (TCO) yang dikenakan terhadap Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dianggap tidak masuk akal dan jelas melanggar hak asasi manusia.

- Advertisement -

Peguam, Mohd Faizi Che Abu berkata, tidak timbul isu ancaman daripada Ahmad Samsuri sekiranya segala urusan berkaitan diuruskan secara rasmi oleh Pejabat Menteri Besar.

“TCO ini adalah satu tindakan dalaman oleh pihak polis yang digunakan untuk mengawasi pergerakan seseorang individu. Ia dibuat atas dasar antaranya ialah individu itu memberi ancaman kepada negara.

“Ataupun untuk tengok VIP (orang kenamaan), jadi mereka nak tengok keselamatan VIP ini. Kita boleh faham perkara tersebut.

“Cuma dalam kes ini, bila kita buat aduan di bawah Seksyen 12 (Hak Asasi Manusia) kepada pihak SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia), kita minta mereka menyiasat adakah perkara ini betul untuk menjaga keselamatan beliau.

“Ataupun disebabkan isu-isu lain mahupun atas penjagaan ‘security purposes’ itu adalah sekadar ‘menanam tebu di bibir’ sahaja, tapi sebenarnya ada isu lain?” katanya.

Beliau berkata demikian selepas satu serahan memorandum membantah TCO berkenaan yang disampaikan oleh Setiausaha Politik MB Terengganu, Mohd Soud Said kepada Pengerusi SUHAKAM, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus, di sini hari ini.

Mohd Faizi turut menyentuh situasi di mana Menteri Besar itu yang ditahan hampir 40 minit oleh pihak berkuasa lapangan terbang setiap kali pulang dari luar negara.

“Beliau ditahan di bilik VIP, yang mana ia ditempah sendiri oleh Pejabat Menteri Besar, jadi tidak timbul isu ancaman. Apa lagi yang nak disahkan? Sepatutnya tidak timbul pun isu itu, beliau tidak perlu ditahan pun.

“Kalau kita orang biasa masuk pun, seminit dua sahaja di auto gate, dah boleh balik dah. Jadi di sinilah ketidakwajaran yang kita rasa bila beliau dikategorikan sebagai TCO.

“Adakah kita tengok layanan yang sama terhadap Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri? Tidak ada, mereka tidak ditahan kerana itulah TCO yang sebenarnya kalau betul-betul nak jaga keselamatan.

“Tetapi apa yang berlaku kepada beliau adalah sebaliknya. Disusahkan, maksudnya kena ada clearance dan sebagainya. Itulah asas aduan kami kepada pihak SUHAKAM untuk dibuat satu siasatan secara mendalam,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!