KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) sering kali dilihat oleh masyarakat antarabangsa sebagai penentu kepada segala bentuk polisi dan cengkaman kuasa besar tersebut ke atas dunia sejagat.
Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Ustaz Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bagaimanapun pemilihan calon-calon Presiden kali ini memperlihatkan bahawa AS sudah mula mengalami zaman kemunduran.
“Walaupun AS tetap diakui merupakan kuasa besar dunia yang digeruni, tetapi sudah mula mengalami kemunduran. Buktinya ialah pemilihan calon Presiden AS itu sendiri yang tidak berkaliber jika dibandingkan dengan Presiden AS pada masa sebelum ini,” katanya.
Exco Kerajaan Negeri Terengganu menyifatkan kuasa besar dunia itu kini sedang ketandusan pemimpin yang diulasnya ketika ditemui HarakahDaily selepas pertemuan dengan Kedutaan Ireland di bangunan The Ampwalk, di sini baru-baru ini.
Menurut Ustaz Khalil yang juga ADUN Batu Buruk, jawatan Presiden AS biar diterajui oleh Donald Trump atau Kamala Harris akan tetap tidak mengubah dasar kuasa besar tersebut terhadap negara-negara Timur Tengah.
Jelas beliau, ini kerana kebanyakan golongan elit negara tersebut merupakan pendokong utama kepada gerakan Zionisme Israel itu sendiri.
“Apa yang saya ingin tegaskan di sini ialah sesiapa pun menjadi Presiden AS akan tetap sama iaitu tidak berbelah bahagi memberi sokongan kepada Israel walaupun semakin banyak rakyat AS bersifat sebaliknya.
“Namun begitu, kita juga dapat melihat bahawa Kerajaan AS sedang menuju ke arah kemunduran walaupun masih mempunyai kekuatan ketenteraan yang digeruni.
“Buktinya kelayakan calon Presiden AS itu sendiri sudah jauh bezanya dengan zaman sebelum ini dan perkara sebegini menunjukkan bahawa AS sedang mengalami ketandusan kepimpinan.
“Bukan itu sahaja, malah wujudnya pertubuhan antarabangsa seperti BRICS sudah mula memberikan cabaran yang besar dari sudut misalnya terhadap ekonomi kuasa besar tersebut,” ujarnya.
Sehubungan itu, Dr Muhammad Khalil menyatakan bahawa Allah SWT telah menentukan tiada kuasa pemerintahan manusia yang akan kekal selama-lamanya lebih-lebih lagi apabila terlibat dalam melakukan pelbagai kezaliman.
Kata beliau lagi, perkara tersebut merupakan satu fitrah yang telah ditentukan Allah SWT dan berlaku dalam mana-mana sejarah politik manusia itu sendiri.
“Saya melihat sekarang dunia menuju kepada perubahan secara total iaitu kuasa berbilang negara dan bukan lagi kuasa tunggal AS.
“Maka, pentingnya untuk dunia Islam pada hari ini mengambil peluang untuk bina kekuatan tersendiri tanpa bergantung kepada mana-mana pihak lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/11/2024
Amerika: Kuasa dunia yang sedang tandus pemimpin
- Advertisement -