Sumbangan gempa bumi Turkiye dan Syria

- Advertisement -

PAS Perak menerima sumbangan sebahagian kawasan yang melancarkan kutipan derma untuk Turkiye dan Syiria malam ini. Sumbangan hampir RM100,000 diterima Pesuruhjaya PAS Perak YB Razman bin Zakaria bagi pihak PAS Pusat untuk disalurkan kepada PASRelief Malaysia.

Sumbangan sebanyak RM89,267 diserahkan sepuluh dari 24 kawasan PAS Perak selepas mesyuarat Badan Perhubungan Negeri di Ipoh. Sebanyak 14 kawasan masih meneruskan kutipan tersebut.

Kutipan paling banyak untuk kutipan siri pertama ini disumbangkan PAS kawasan Bukit Gantang sebanyak RM20,000. Sumbangan disampaikan YB Hj Rahim, ADUN Changkat Jering yang juga YDP PAS Kawasan. 

Sumbangan ini adalah bukti kesungguhan PAS, merasai derita dan musibah yang menimpa dua negara yang majoritinya adalah umat islam. Ia bersesuaian seruan Rasulullah agar saudara mukmin turut merasai penderitaan saudara mereka. Sebagai parti bertunjangkan prinsip Islam, PAS membuktikan tuntunan Rasulullah.

YB Razman yang ditemui selepas itu menyebut bahawa orang PAS telah dididik berkorban harta sejak dari awal menyertai PAS. Mereka dididik mengorbankan harta untuk perjuangan Islam. Oleh kerana itu PAS tidak bimbang mengenai wang ringgit dalam menggerakkan parti. Semua wang PAS datang dari poket ahlinya. Sebab itu PAS mampu bertahan lebih 70 tahun walaupun tidak menjadi kerajaan. 

PAS adalah parti yang konsisten memberi sumbangan untuk perjuangan dan nasib umat Islam seluruh dunia. Menurut beliau lagi, ada 14 lagi kawasan yang terus membuat kutipan sumbangan bencana tersebut. Semoga Allah menerima pengorbanan mereka dan dapat meringankan musibah saudara seagama, katanya mengakhirkan perbualan.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 16/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -