Gembirakan ibu bapa

- Advertisement -

DALAM kitab Rūh Al-Shiyām Wa Ma’ānīh karya Dr. Abdul Aziz bin Musthafa Kamil menegaskan bahawa wajib bagi orang yang mempunyai kedua ibu bapa berbuat baik serta menggembirakan keduanya khasnya ketika berada di bulan Ramadhan yang mulia:

- Advertisement -

أحسن أيها الصائم صحبة والديك ومعاملة أرحامك، فذلك من إحسان صيامك، وإذا دخل عليك رمضان وعندك من الوالدين أحدهما أو كلاهما فلا تضيع صيامك بقطعهما بل صل نفسك بوصلهما فالجنة في رضائهما وبخاصة تلك الأم التي لا تؤم الجنة دون رضاها ولا يشم شذاها من آذاها

“Wahai orang yang berpuasa, berbuat baiklah dalam mendampingi kedua ibu bapa serta ketika berhubung dengan sanak saudaramu, demikian itu, adalah petanda kebaikan pada puasamu. Jika datang bulan Ramadan dan kamu mempunyai salah seorang atau kedua ibu bapamu, maka janganlah kamu mensia-siakan puasamu dengan memutuskan hubungan dengannya. Sebaliknya, hubungkan dirimu dengan mendampingi kedua mereka. Syurga itu bergantung kepada redha keduanya, terutamanya seorang ibu yang mana seseorang itu tidak boleh mendekati syurga tanpa redhanya dan tidak dapat mencium haruman baunya dengan menyakitinya”.

Kedua ibu bapa adalah anugerah Allah kepada kita sebagai tiket memasuki syurga. Dampingi dan ceriakanlah hidup mereka. Bahkan kewajipan mentaati ibu bapa tidak tertentu kepada ibu bapa yang beragama Islam sahaja, malahan bagi sesiapa yang ibu atau bapanya atau kedua-duanya bukan beragama Islam juga diwajibkan mentaati dan berbuat baik kepada mereka, selagi mereka tidak menyuruh anaknya mensyirikkan Allah atau melakukan perkara yang bertentangan dengan perintah Allah.

Malang sekali, masih terdapat sang anak yang memandang remeh kepada ibu bapa yang boleh jadi tidak pandai membaca serta menulis, miskin dan tidak berkeupayaan. Buanglah sikap memandang hina kepada ibu bapa dan meremehkan kedudukannya. Ingatlah, syurga itu bergantung kepada redha mereka. Untuk itu, anak-anak sewajibnya diberi didikan agama dan pendedahan dari awal lagi mengenai menghormati ibu bapa. Anak-anak yang diberi didikan agama semenjak kecil mempunyai asas agama kukuh dan akan ada rasa tanggungjawab dalam menjalankan tugas menjaga ibu bapa yang berumur dan uzur. Sayangilah ibu bapa!

ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 14/4/2022

- Advertisement -