PAYMENTS Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) telah mengesahkan bahawa kadar diskaun pedagang (MDR) bakal ditarik balik dan caj transaksi akan dikenakan kepada vendor yang menggunakan aplikasi DuitNow QR berkuatkuasa 1 November 2023 bagi semua bank kecuali Maybank, Bank Islam dan AmBank.
Menurut PayNet, penepian (waiver) bagi caj MDR telahpun diberikan sewaktu transaksi DuitNow QR dilancarkan pada tahun 2019 dan ia dilanjutkan lagi semasa penularan wabak COVID-19 sehingga ke hari ini. Sekiranya caj ini dilaksanakan, MDR yang terkumpul akan dibahagikan kepada dua pihak iaitu PayNet dan bank pemeroleh yang berkaitan. Ianya bertujuan untuk menampung kos penyelenggaraan bagi urusan memperoleh penyertaan para peniaga.
Setelah perbincangan dilakukan bersama Gabenor Bank Negara Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memaklumkan bahawa para peniaga berskala mikro dan kecil akan dikecualikan daripada sebarang caj bagi transaksi menggunakan platform berkenaan.
Namun demikian, dalam situasi ini, saya berpandangan bahawa pihak bank sama sekali tidak akan mengalami kerugian jika MDR tersebut dikekalkan. Buktinya, sebelum dikenakan caj lagi, bank komersial seperti CIMB Group Holdings Bhd mampu menjana keuntungan bersih sebanyak RM6.21 bilion, begitu juga dengan RHB Bank yang berjaya mengumpul keuntungan bersih kira-kira RM2.71 bilion tahun lalu.
Justeru, bukti di atas jelas menunjukkan bahawa tiada masalah sekiranya MDR bagi penggunaan DuitNow QR ini diteruskan dalam jangka waktu yang panjang. Pada masa yang sama, saya turut menggesa pihak kerajaan untuk mengambil tindakan proaktif di samping mewujudkan sesi libat urus dengan pihak bank komersial untuk mendapatkan solusi yang tuntas berkenaan isu ini bagi menjamin kemampanan ekosistem perniagaan tempatan.
“Malaysia Sejahtera”
YB SENATOR TUAN HAJI HUSSIN ISMAIL
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 2/10/2023