ALOR SETAR: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menghadapi status negara tua, antaranya Dasar dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (DWEN).
Ia bagi memastikan kesejahteraan warga emas melalui penyediaan perkhidmatan, sokongan komprehensif, termasuk aspek kesihatan, sosial, dan ekonomi, demikian jawapan kepada soalan diajukan Bau Wong Ek (PH-Sidam).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, statistik terkini warga emas di Kedah mencapai ke angka 301,920 orang daripada 2.22 juta penduduk negeri ini.
“Jumlah ini mewakili 13.6 peratus dari jumlah keseluruhan rakyat Kedah.Jumlah ini juga menunjukkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelum ini,” jelas beliau pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman, hari ini.
Penjelasan itu mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perpaduan, Dato’ Halimaton Shadiah Saad yang tidak dapat hadir pada persidangan hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam pada pertanyaannya inginkan statistik warga tua terkini di Kedah serta langkah kerajaan membuat persediaan ke arah itu.
Justeru kata Dato’ Ashah, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) diaktifkan sebagai hab aktiviti dan perkhidmatan mesra warga emas dalam komuniti termasuk menyediakan platform untuk pembelajaran sepanjang hayat dan aktiviti sosial.
“Di Kedah terdapat 15 Pusat PAWE di semua daerah di Kedah bagi memastikan aktiviti warga emas dapat dilaksanakan,” katanya lagi.
Selain itu tambah beliau, bantuan kewangan Bantuan Warga Emas (BWE) sebanyak RM600 sebulan seorang, diberikan kepada warga emas yang layak di mana bantuan itu sebagai saraan hidup kepada warga emas yang memerlukan.
“Antara yang layak menerima BWE, pertama, mestilah berumur 60 tahun ke atas, tiada sumber pendapatan untuk menyara hidup, tiada keluarga atau kalau adapun tidak berkemampuan untuk memberi sumbangan kepada warga emas itu.
“Setakat April 2025, sebanyak RM4,615,200 telah dibelanjakan untuk BWE ini, melibatkan 7,692 penerima,”katanya lagi. – HARAKAHDAILY 21/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!