Sumbangan kerusi roda ceriakan pasangan

- Advertisement -

BUKIT GANTANG: Derita ditanggung oleh pasangan suami isteri penghidap diabetis sedikit terubat dengan kehadiran rombongan PAS Kawasan Bukit Gantang ke kediaman mereka di Ladang Allagar, Trong, dekat sini kelmarin.

- Advertisement -

Raguman Mariappan, 69, seorang pesara buruh ladang sawit terpaksa dipotong kaki kanannya setelah menderita diabetis sejak beberapa tahun lalu, malah isterinya turut mengalami nasib sama.

Papa Sinnaiah, 50, pula tidak menyangka menerima nasib seperti suaminya apabila turut kehilangan kaki kanannya sehingga paras lutut dan terpaksa menggunakan kaki palsu.

Pasangan yang dikurniakan 10 orang anak itu kini berteduh di rumah ladang mereka, manakala perbelanjaan hidup seharian ditanggung bersama oleh anak-anak dan dari wang simpanan persaraan.

Rombongan diketuai Yang DiPertua PAS Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman bersama Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Kawasan, Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) serta Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan.

Turut hadir, Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Bukit Gantang, Wai Chee Seng serta Pengerusi dan Timbalan Pengerusi LPN PAS Bukit Gantang, Rosnah Salleh dan Roslan Talib.

Semasa menyampaikan sumbangan kerusi roda dan derma wang tunai, Ustaz Faisal berharap pasangan ini dapat bersabar dalam menempuh ujian hidup ini dan bersyukur kerana anak-anak masih mengambil berat kebajikan mereka.

Beliau turut menyarankan mereka ini memohon bantuan sara hidup daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan manfaat faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Setelah mereka membanting tulang dan bekerja keras di ladang dari usia muda sehingga bersara, amatlah wajar mereka menerima manfaat dan sumbangan daripada kedua-dua agensi itu dalam mengharungi penghujung umur tua mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/12/2019

- Advertisement -