Segera selesaikan isu pelantikan Menteri Pendidikan

    - Advertisement -

    PELANTIKAN baharu Menteri Pendidikan mesti segera diumumkan untuk mengelakkan lebih banyak spekulasi tidak perlu dan memastikan kelangsungan agenda pendidikan berjalan dengan lancar. Pakatan Harapan (PH) tidak perlu mengheret masalah persaingan politik dalaman untuk menentukan calon sesuai Menteri Pendidikan. Walhal, banyak lagi agenda reformasi pendidikan perlu difokuskan pada tahun 2020 ini.

    - Advertisement -

    Banyak polisi dan keputusan Kementerian Pendidikan yang masih dinantikan oleh rakyat seperti isu pengiktirafan UEC, tulisan Jawi, penulisan sejarah, sarapan pagi, PTPTN, penggabungan UMT dan UNISZA, pembaikan sekolah daif, peningkatan kualiti pembelajaran dan pengurangan beban guru. Jika pelantikan baharu pun terlalu banyak ‘politiking’, maka kita akan bayangkan perjalanan Kementerian Pendidikan yang lebih haru biru selepas ini.

    Kelewatan pengumuman pelantikan Menteri Pendidikan yang baharu mencerminkan kelonggaran ikatan dalam kalangan komponen parti PH. Setiap parti mempunyai agenda tertentu dan tidak menghormati kuasa prerogatif YAB Perdana Menteri. Rakyat mahu Kerajaan Persekutuan fokus kepada agenda lebih besar untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan membentuk iklim pendidikan yang jauh lebih baik bermula dekad baharu ini.

    Sekian.

    WAN HASSAN BIN MOHD RAMLI
    Ahli Parlimen Malaysia (Dungun)
    10 Jamadil Awwal 1440 | 6 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 6/1/2020

    - Advertisement -