Arak memang mudarat

- Advertisement -

APA yang difahamkan sebelum daripada ini, kajian dari orang putih mengatakan bahawa minum arak sedikit tidak mendatangkan mudarat yang besar kepada kesihatan berbanding dengan minum banyak. 

Bahkan mereka mendapati minum secara sedikit dan sederhana itu boleh membantu untuk menyembuhkan beberapa jenis penyakit kronik.

Saya sejak dari awal tidak percaya sangat dengan keputusan kajian yang mereka lakukan itu, sebab saya lihat ianya adalah bias dan mempunyai kecenderungan tertentu. 

Sudah tentu penulis yang suka minum arak akan mencari ruang untuk mengindahkan lagi kajian mereka dengan mengatakan bahawa arak yang sedikit dan sederhana itu bermanfaat.

Begitu juga dengan isu hukum merokok. Walaupun Majlis Fatwa telah pun mengharamkan rokok sejak dari 1995 lagi, tetapi ada juga segelintir ustaz yang masih lagi memegang bahawa rokok itu hukumnya makruh. 

Malah ada yang mengatakan bahawa hukumnya harus dihisap. Jika diteliti semula kenyataan mereka itu dibuat sebab apa? Sebab mereka sendiri pun hisap rokok!

Kajian orang putih yang mengatakan bahawa mengambil arak walau yang sedikit itu mendatangkan manfaat kerana ia membandingkan antara ambil sedikit vs ambil banyak. Memanglah jika ambil sedikit, maka sedikitlah mudaratnya berbanding dengan ambil banyak yang terlalu banyak mudarat.

Sedangkan kajian yang dilakukan mereka tidak membandingkan antara yang tidak ambil langsung arak vs yang ambil. Apabila disemak dan teliti semula kajian mereka itu, memang terbukti bahawa tidak mengambil arak lebih banyak manfaat berbanding dengan mengambil arak yang mempunyai mudarat.

Oleh itu dalam membaca jurnal perubatan kita kena ada satu pemikiran kritis. Tidak terus menelan bulat-bulat ulasan dan keputusan yang telah dibuat oleh penulis jurnal tersebut. 

Tetapi kita harus membacanya dengan membuat ‘Critical Appraisal’ dari sudut pandang lain atau membuat rujukan silang (cross reference) dari sumber jurnal lain.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 13/6/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -

- Advertisement -