Kemaruk kuasa desak PRU15 disegera

Ahmad Dullah
- Advertisement -

Oleh UMEE SUZIANA

KOTA KINABALU:
Pemimpin negara wajar memberi tumpuan sepenuhnya terhadap penyelesaian masalah rakyat khususnya mereka yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 sebelum ini.

Ketua Penerangan PAS Sabah, Ahmad Dullah berkata, masalah rakyat terutamanya aspek ekonomi dan keperluan untuk meneruskan kehidupan perlu menjadi agenda utama negara.

- Advertisement -

Katanya, kerajaan perlu mempunyai perancangan untuk membawa rakyat keluar daripada belenggu yang berlaku sebelum ini.

“Seharusnya pemimpin perlu membantu untuk menyelesaikan masalah rakyat terlebih dahulu demi kestabilan ekonomi negara, dan kemudian barulah membincangkan isu Pilihan Raya Umum (PRU).

“Pemimpin yang mendesak dan memaksa agar PRU15 disegerakan sangat tidak bertanggungjawab serta mementingkan diri dan kemaruk untuk berkuasa,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ts Ir Khairil Nizam Khirudin mencadangkan PRU15 ditangguhkan sehingga tempoh parlimen tamat.

Jumaat lepas Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS mengambil kira kepentingan rakyat yang berdepan dengan banyak masalah untuk diadakan PRU15 lebih awal, dan ditambah pula Covid-19 belum lagi diisytiharkan bebas. 

Ahmad berkata, PAS Sabah menyokong penuh kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat supaya PRU15 diadakan selepas penggal kerajaan sekarang berakhir.  

“Seharusnya persoalan berkaitan perlaksanaan PRU15 perlu ditangguhkan sehingga tamat tempoh parlimen agar terbubar dengan sendirinya,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 13/6/2022

- Advertisement -