Khabar angin, propaganda dan fitnah musuh

- Advertisement -

TULISAN sebelum ini

(1) Semakin hari semakin kita terdedah dengan ‘fake’ sama ada fake account, fake news, atau apa sahaja. Kita sedar bahawa media-media yang sepatutnya menyebar berita, sudah berperanan sebagai senjata (weaponized).

Termasuk juga Hoax atau apa jua istilah yang dilontarkan. Semua orang mengeji sebarang penipuan atau pembohongan, kerana merasa tertipu. Sebaliknya jika ingin menjaga periuk nasi sendiri, dia sendiri sanggup menipu.

(2) Kita perlu tahu bahawa penipuan itu berada dalam satu dimensi. Dimensi berlumba-lumba untuk mewujudkan suasana pembohongan, suasana penipuan, propaganda dan memalsukan kebenaran.

Ada yang tertipu, dan ada yang sengaja menyerahkan telinganya untuk ditipu. Mereka yang ditipu itu tidak bersalah. Yang bersalah ialah mereka yang membiarkan diri ditipu. Ada juga situasi khabar angin yang tidak diketahui hujung pangkalnya.

- Advertisement -

(3) Beberapa artikel saya sebelum ini yang berkaitan dengan penipuan, hoax dan sebagainya;

(a) Hoax: Ahli Politik VS Pelakon Filem. [1]

(b) Jerat Hoax Dan Dunia Maya. [2]

(c) Scammer Dalam Dunia Politik. [3]

(d) Kepercayaan Yang Tiada Justifikasi. [4]

(e) Era Post Truth: Peringatan Allah Dan Realiti Hari Ini. [5]

Tulisan-tulisan ini berlegar dalam tajuk yang menceritakan mengenai dimensi penipuan atau khabar angin. Sama ada secara teori ataupun realiti yang sedang dialami. Dimensi yang bercampur antara kebenaran dan kebatilan.

Berita palsu kematian Nabi S.A.W

(1) Dalam tulisan kali ini, saya lebih cenderung untuk menggambarkan dimensi penipuan atau khabar angin yang terjadi sejak zaman Nabi S.A.W. Bahkan ada dari kalangan Sahabat R.A dan ada kala Nabi S.A.W sendiri terpercaya dengan tipu daya itu.

Kalau Nabi S.A.W dan para Sahabat R.A ada yang terpercaya dengan tipu daya musuh, apatah lagi kita. Zaman ini adalah zaman penipuan yang boleh di’Fbads’kan, dan di’share’ oleh ratusan ribu orang.

(2) Dalam Sirah Nabi S.A.W ada tiga peristiwa yang ingin saya kaitkan dengan suasana penipuan, propaganda atau khabar angin;

(a) Berita palsu kematian Nabi S.A.W ketika Perang Uhud.

(b) Hadisul Ifki.

(c) Khabar angin kematian Saidina Uthman R.A.

Ketika Perang Uhud tercetus, umat Islam berhadapan dengan suasana getir apabila kumpulan pemanah yang diamanahkan untuk berjaga di atas bukit, turun untuk mengutip ghanimah.

Di saat ini tentera musuh menggempur tentera Islam dari arah belakang, menyebabkan umat Islam hilang arah dan panik. Boleh rujuk kisah Uhud dalam artikel saya sebelum ini. [6]

Ketika umat Islam dalam suasana ini, musuh Islam menyebarkan berita palsu mengenai kewafatan Nabi S.A.W. Dalam suasana kebingungan ini, ramai tentera Islam yang termakan dengan berita palsu ini tanpa sengaja.

Antaranya ialah Anas bin Nadzar R.A. Beliau menengking orang-orang yang sedang kebingungan itu, “Apa yang kamu tunggu?”. Mereka menjawab “Rasulullah S.A.W telah dibunuh”. Anas R.A menjawab “Apa gunanya hidup selepas ini? Bangun! Mari kita mati bersama-sama sebagaimana matinya Rasulullah S.A.W”.

Plot Hadis Ifki dan fitnah munafik

(1) Peristiwa kedua yang dimainkan oleh musuh untuk mewujudkan fenomena penipuan ialah Hadisul Ifki. Peristiwa Hadis Ifki ialah peristiwa fitnah terhadap Saidatina Aisyah, yang berlaku selepas Perang Bani Mustalik.

Beliau telah difitnah dengan Safwan bin Mu’atthal, kerana pulang dengan menaiki kenderaan beliau. Fitnah ini dikepalai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul, yang sudah lama menyimpan dengki dengan Baginda S.A.W, dan beliau adalah seorang munafik.

(2) Peperangan Bani Mustalik berlaku di sebuah tempat yang bernama Muraisi’. Ia berlaku selepas turunnya ayat yang mensyariatkan berhijab. Di dalam peperangan ini, Nabi Muhammad S.A.W membawa Saidatina Aisyah bersama, dan beliau ditempatkan di dalam sebuah kenderaan berbentuk rumah.

Ketika dalam perjalanan pulang di waktu malam, gerombolan Islam singgah di sebuah tempat, untuk berehat. Di kesempatan tersebut, Saidatina Aisyah keluar daripada kenderaannya untuk membuang air.

Setelah selesai membuang air, Saidatina Aisyah kembali ke kenderaannya. Tetapi, beliau dapati rantai emasnya tercicir semasa perjalanan pulang setelah membuang air. Lalu beliau berpatah balik, mencari rantai emasnya.

(3) Dalam pada itu, umat Islam mula bergerak setelah berehat beberapa ketika. Disebabkan tubuh Saidatina Aisyah agak ringan, maka, mereka yang ditugaskan untuk mengusung kenderaannya tidak menyedari bahawa beliau tiada di dalam kenderaan tersebut.

Setelah menemui rantai tersebut, Saidatina Aisyah bergegas ke tempat persinggahan. Malangnya, gerombolan Islam sudahpun meninggalkan tempat tersebut. Saidatina Aisyah menanti supaya tentera Islam menyedari kehilangannya. Dalam pada itu, beliau tertidur.

Dalam masa yang sama, Safwan bin Mu’atthal adalah seorang yang paling akhir di dalam gerombolan tersebut. Apabila beliau melalui kawasan persinggahan umat Islam tadi, beliau mendapati Saidatina Aisyah sedang tidur.

(4) Safwan mengenali Saidatina Aisyah kerana pernah melihatnya sebelum penurunan ayat hijab. Apabila menyedari kehadiran Safwan, Saidatina Aisyah segera menutup hijabnya.

Tanpa berkata sepatah pun, Safwan menurunkan kenderaannya untuk dinaiki oleh Saidatina Aisyah. Lalu, beliau membawanya pulang ke Madinah, tanpa sepatah perkataan pun.

(5) Setibanya di Madinah, berita tersebut sampai ke pengetahuan Abdullah bin Ubai bin Salul. Lalu beliau menyebarkan berita fitnah terhadap kesucian Saidatina Aisyah R.A.

Dalam masa yang sama, setelah tiba di Madinah, Saidatina Aisyah mengalami demam panas, dan beliau tidak mendengar gembar-gembur fitnah tersebut kerana berehat.

(6) Beliau menyedari kelainan pada Baginda S.A.W, yang tidak mesra seperti sebelumnya. Setelah sebulan berlalu, barulah beliau mengetahui bahawa kesuciannya telah difitnah.

Satu hari Baginda S.A.W bertemu dengan Saidatina Aisyah meminta penjelasan. Setelah membuat penafian, turunlah ayat 11-20 surah an-Nur yang menyucikan beliau daripada fitnah Abdullah bin Ubai.

(7) Realiti ini menggambarkan bagaimana suasana penipuan dan fitnah yang dicetuskan oleh Abdullah bin Ubai sehingga sedikit sebanyak terkesan kepada Nabi S.A.W sehinggalah wahyu diturunkan.

Beginilah contoh realiti hari ini apabila munculnya skandal itu dan ini yang dipentas-teaterkan di media sosial secara terbuka. Entah betul atau tidak. Yang pasti, sharingnya mencecah ribuan.

Khabar angin pembunuhan Saidina Uthman R.A

(1) Peristiwa ketiga yang menggambarkan suasana khabar angin ialah berita kematian Saidina Uthman R.A. Saya belum temui secara khusus bagaimana khabar ini tercetus.

Pada tahun 6 Hijrah, Nabi S.A.W bersama umat Islam ingin mengerjakan umrah di Makkah. Hal ini telah mengejutkan pimpinan Quraisy Makkah, lantas mereka bermesyuarat.

(2) Mesyuarat itu memutuskan supaya dihantar wakil bertemu Nabi S.A.W. Berkali-kali wakil dihantar untuk bertanyakan tujuan, dan Nabi S.A.W menjawab dengan jawapan yang sama.

Setelah itu, Nabi S.A.W bercadang menghantar Saidina Umar R.A ke Makkah sebagai utusan untuk berunding. Saidina Umar R.A mencadangkan digantikan oleh Saidina Uthman R.A.

(3) Saidina Uthman ke Makkah dan disambut oleh Abban bin Sa’id. Rundingan antara Saidina Uthman R.A terlalu lama, sehinggalah tersebarnya berita pembunuhan Saidina Uthman.

Lalu Nabi S.A.W mengumpulkan umat Islam untuk berbai’ah untuk tidak berundur daripada medan perang menuntut atas pembunuhan Saidina Uthman R.A itu. Namun setelah itu Saidina Uthman R.A kembali dengan selamat.

(4) Berita pengumpulan umat Islam untuk berperang itu diketahui oleh Quraisy Makkah dan mereka berasa cemas. Lantas mereka mengutuskan Suhail bin Amru untuk memeteraikan perjanjian.

Maka, terjadilah Perjanjian Hudaibiyah selepas itu. Khabar angin pembunuhan Saidina Uthman tidak saya ketahui. Cumanya ia menjadi gambaran bagaimana ia berlegar-legar sesama orang Islam.

[1] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3192764250765313/?d=n

[2] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3708958575812542/?d=n

[3] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3175936569114748/?d=n

[4] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3057086917666381/?d=n

[5] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3080688008639605/?d=n

[6] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/3496086250433110/?d=n

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 7/6/2020

- Advertisement -