KUALA LUMPUR: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), MAS-1 mencapai kejayaan dalam operasi hari pertama di kawasan bencana gempa bumi di daerah Sagaing, Myanmar, semalam.
Mengikut laporan Facebook SMART, operasi dimulakan seawal jam 9 pagi di lokasi pertama, iaitu sebuah sekolah persendirian.
Kamera IRIS pasukan berjaya mengenal pasti kedudukan mangsa pada jam 9.45 pagi dan kerja mengeluarkan mangsa dilaksanakan dengan teliti bersama penyelamat dari Jabatan Perkhidmatan Kebakaran Myanmar.
Menurut SMART, mayat seorang guru wanita berjaya dikeluarkan dari runtuhan bangunan pada jam 12.45 tengah hari.
Sementara itu di lokasi kedua, iaitu sebuah masjid, pencarian menyeluruh dilaksanakan tetapi tiada lagi mangsa yang terperangkap.

Di lokasi ketiga, iaitu sebuah rumah kedai, pasukan MAS-01 berjaya mengeluarkan mayat seorang lelaki berumur 57 tahun yang terperangkap di lantai kedai pada jam 4.50 petang.
Semua mayat mangsa diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut dengan operasi hari pertama berakhir pada 6 petang dan disambung semula hari ini pada jam 8,30 pagi tadi.
Pasuka SMART Malaysia yang turut dianggotai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta doktor dan paramedik dari Kor Kesihatan Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berlepas ke Myanmar pada Ahad lalu untuk membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di negara itu. – HARAKAHDAILY 1/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!