SEOUL: Semakin banyak sekolah di Korea Selatan menanti masa untuk ditutup pada tahun ini berikutan penurunan populasi kanak-kanak akibat kadar kelahiran yang rendah di negara ini.
Menurut data Kementerian Pendidikan yang dikemukakan kepada Ahli Parlimen Jin Sun-mee dari Parti Demokrat Korea, semalam, daripada jumlah keseluruhan sebanyak 49 sekolah, 43 sekolah terletak di wilayah yang jauh dari ibu negara.
Jumlah itu lebih tinggi berbanding bilangan sekolah yang ditutup setiap tahun di setiap bandar dan wilayah sepanjang tempoh lima tahun lalu.
Jumlah sekolah yang ditutup pada 2020 mencecah 33, menurun kepada 24 pada 2021, 25 pada 2022 dan 22 pada 2023, sebelum melonjak kepada 33 pada tahun lalu.
Mengikut wilayah, tiada sekolah ditutup di Seoul, manakala enam di Gyeonggi. Wilayah Jeolla Selatan sebanyak 10 sekolah, diikuti Chungcheong Selatan (9), Jeolla Utara (8) dan Gangwon (7). Busan pula sebanyak dua sekolah dan Daegu,satu sekolah untuk ditutup.
Dari segi peringkat sekolah, 38 daripada 49 sekolah yang dijadualkan ditutup adalah sekolah rendah, manakala lapan adalah sekolah menengah rendah dan tiga sekolah tinggi.
Sementara itu, 112 sekolah rendah di seluruh negara tidak mempunyai pelajar baharu tahun lepas.
Menurut data sekolah tanpa pelajar baharu kementerian, setakat April lalu, Wilayah Jeolla Utara mendahului dengan 34 sekolah rendah menerima kemasukan pelajar baharu sifar, diikuti Gyeongsang Utara (17), Gyeongsang Selatan (16), Jeolla Selatan dan Chungcheong Selatan (masing-masing 12) dan Gangwon (11).
Menurut Pejabat Pendidikan Metropolitan dan Wilayah, kira-kira 42 sekolah rendah di Wilayah Gyeongsang Utara gagal menerima pelajar baharu tahun ini, begitu juga dengan Jeolla Selatan (32), Jeolla Utara (25), Gyeongsang Selatan (26) dan 21 di Gangwon – THE KOREA TIMES
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!