India bayar pembelian minyak Rusia guna Dirham

Bank India kreatif membuat pembayaran menggunakan Dirham UAE.
- Advertisement -

NEW DELHI: India mula membayar untuk kebanyakan pembelian minyak Rusia melalui peniaga yang berpangkalan di Dubai dalam dirham Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan bukan Dolar Amerika Syarikat.

- Advertisement -

Walaupun sekatan Barat terhadap Moscow tidak diiktiraf oleh India, bank dan institusi kewangan berhati-hati untuk menjelaskan pembayaran bagi pembelian minyak Rusia supaya secara tidak sengaja melanggar banyak langkah yang dikenakan terhadap Rusia berikutan pencerobohan di Ukraine.

Kilang penapis dan peniaga India bimbang mungkin tidak dapat meneruskan dagangan dalam Dolar, terutama jika harga minyak mentah Rusia meningkat melebihi had yang dikenakan oleh negara Kumpulan Tujuh (G7) dan Australia pada Disember lalu.

Ini menyebabkan peniaga mencari kaedah pembayaran alternatif yang juga boleh membantu usaha Rusia untuk mengurangkan pergantungan ekonomi kepada Dolar sebagai tindak balas kepada sekatan Barat.

Percubaan sebelum ini oleh kilang penapis India untuk membayar pedagang minyak mentah Rusia dalam Dirham melalui bank di Dubai gagal menyebabkan terpaksa menukar kembali kepada mata wang AS.

Namun bank terkemuka India, State Bank of India (SBI), kini berjaya membuat pembayaran menggunakan Dirham, sumber memberitahu Reuters dengan memberikan butiran transaksi yang tidak pernah dilaporkan sebelum ini.

SBI yang mempunyai cawangan di luar negara, termasuk di AS, tidak menjawab permintaan untuk memberikan ulasan mengenai perkara ini.

Had harga G7 melarang mana-mana syarikat Barat seperti penyedia perkhidmatan insurans dan perkapalan yang menyokong sebahagian besar perdagangan global, terlibat dalam perdagangan minyak mentah Rusia jika harga pembelian melebihi AS$60 setong di tempat pemuatan di Rusia.

Sekatan itu turut membabitkan negara lain seperti China dan India yang tidak mengiktiraf had harga itu.

Peralihan kepada pembayaran menggunakan Dirham dicetuskan oleh SBI yang meminta kilang penapisan yang ingin membuat pembayaran menggunakan Dolar untuk minyak mentah Rusia memberikan pecahan kos minyak, pengangkutan dan insurans, membolehkan semakan dibuat untuk mengelak melanggar had yang ditetapkan.

SBI sangat konservatif dalam pendekatannya walaupun India tidak mengikut mekanisme had harga dan insurans serta perkapalan Barat tidak digunakan untuk penghantaran.

Kilang penapis India biasanya membeli minyak mentah Rusia daripada peniaga pada harga yang termasuk kos penghantaran ke India.

Invois untuk perjanjian demikian yang dilihat oleh Reuters menunjukkan peniaga meminta purata harga minyak mentah termasuk pengangkutan untuk minyak mentah Ural. Dokumen itu mengira harga kargo dalam Dolar dan Dirham.

Sumber itu berkata, kilang penapis India membeli minyak Rusia berdasarkan penghantaran untuk mengurangkan sebarang risiko yang timbul semasa penghantaran dan setakat ini, kos yang dikira pada titik pemuatan adalah di bawah had harga.

Kilang penapis India kebanyakannya membeli minyak mentah Rusia daripada peniaga yang berpangkalan di Dubai termasuk Everest Energy dan Litasco, sebuah unit syarikat minyak utama Rusia, Lukoil.

Everest Energy dan Litasco tidak menjawab permintaan untuk komen.

Setiausaha Minyak India, Pankaj Jain, bulan lalu berkata syarikat India tidak menghadapi sebarang masalah dalam membayar minyak Rusia kerana tindakan terbaharu Barat tidak memberi kesan kepada mekanisme penyelesaian perdagangan. – REUTERS

- Advertisement -