Penduduk dapat geran jangan jual tanah – MB

- Advertisement -

LANGKAWI: Seramai 65 penduduk di dua mukim di daerah Langkawi menerima geran hak milik tanah yang disampaikan kerajaan negeri.

- Advertisement -

Mereka termasuk 16 penduduk Kampung Kok yang menerima geran hak milik Felcra In-Situ, manakala 49 lagi menerima Lesen Pendudukan Sementara (LPS) melibatkan penduduk Selat Bagan Nyior.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tanah yang dimiliki perlu diusahakan dan tidak dibiarkan ditumbuhi semak samun.

“Ini kerana masih ramai lagi rakyat yang memerlukan tanah. Saya berharap penerima geran hak milik dan LPS memanfaatkan tanah sebaik mungkin.

“Usahakan supaya dapat memberi faedah kepada keluarga, masyarakat dan negara,” katanya pada majlis Penyerahan Geran dan Hari Apresiasi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Daerah Langkawi, di sini, hari ini.

Turut hadir Adun Ayer Hangat, Dato’ Juhari Bulat; anggota Exco, Mohd Firdaus Ahmad; Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Dato’ Md Shuhaime Abdul Rahman; Pegawai Daerah Langkawi, Dato’ Abdul Gafar Yahya dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi, Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah.

Pada majlis itu seramai 53 JPKK Daerah Langkawi diraikan kerajaan negeri.

Sanusi turut mengingatkan pemilik tanah tidak menjual tanah yang diberi kerajaan negeri biarpun harganya begitu mahal di Langkawi.

“Pelbagai taktik digunakan pihak tertentu untuk membolehkan urusan jual beli tanah LPS dijalankan walaupun undang-undang tidak boleh dijual beli dalam tempoh 10 tahun selepas mendapat geran,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/2/23

- Advertisement -