KANGAR: Keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) Negeri Perlis tahun 2024 mencatatkan peningkatan membanggakan dengan 86.88 peratus calon lulus, berbanding 74.67 peratus pada tahun sebelumnya.
Sebanyak 68 pusat peperiksaan terlibat dalam UPKK tahun ini dengan 3,410 calon mendaftar, manakala 3,377 calon hadir menduduki peperiksaan dan hanya 33 calon tidak hadir.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Negeri, Ustaz Muhammad Azmir Azizan berkata, pencapaian ini mencerminkan usaha gigih para pelajar, guru, dan ibu bapa dalam memastikan kejayaan pendidikan agama yang berkualiti.
“Tahun 2024 ‘batch’ pertama menggunakan silibus baharu dengan sembilan mata pelajaran, sebelum ini lapan mata pelajaran. Walaubagaimanapun anak-anak sudah berusaha sebaik mungkin.
“Saya yakin kejayaan ini adalah hasil kesungguhan mereka serta sokongan padu daripada ibu bapa dan tenaga pengajar,” katanya kepada Harakahdaily, di sini hari ini.
Beliau turut menzahirkan harapan agar pencapaian ini terus meningkat pada tahun-tahun akan datang dengan penambahbaikan dalam sistem pembelajaran dan persediaan lebih rapi bagi calon-calon UPKK.
Seramai 338 calon berjaya memperoleh keputusan cemerlang 9A, diikuti 234 calon mendapat 8A dan 211 calon memperoleh 7A, selain 203 calon mendapat 6A, 202 calon 5A, dan 228 calon 4A.
Terdapat 470 calon yang tidak mempunyai A, sementara seorang calon mendapat semua D.
Dalam pada itu, Sekolah Rendah Islam At-Taqwa (SRIAT) dan Sekolah Rendah Islam Al-Furqan (SRIAF) turut mencatat keputusan membanggakan apabila semua calon lulus.
Mudir SRIAT, Ustaz Azamhari Mohamood berkata, 29 orang pelajar memperoleh keputusan 9A, diikuti enam calon mendapat 8A dan empat lagi memperoleh 7A.
“Keseluruhan 57 calon yang menduduki peperiksaan berjaya dengan keputusan cemerlang,” ujarnya.
Sementara itu, di SRIAF, 26 calon mendapat keputusan penuh 9A, 13 calon memperoleh 8A, dan empat calon mendapat 7A.
Turut mencatat keputusan baik ialah lima calon dengan 6A, tiga dengan 5A, serta beberapa lagi dengan pencapaian lain. – HARAKAHDAILY 20/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!