Menilai semula tindakan TH di zaman DS Najib

- Advertisement -

KITA telah sekali lagi dihidangkan dengan perdebatan panjang tentang Tabung Haji (TH) dan lambakan data-data perakaunan terutama oleh pihak-pihak yang menyebelahi pengurusan TH sekarang. Manakala di pihak yang mempertahan pengurusan lama TH di zaman Dato’ Seri Mohd Najib, telah menjawab pula dengan hujah-hujah yang mantap dan juga berfakta.

- Advertisement -

Cuma persoalan utama yang saya lihat masih belum terjawab sehingga hari ini ialah, mana penyelewengan pengurusan lama TH dan Dato’ Seri Najib yang dituduh oleh PH sebelum PRU14? Yang lebih utama juga kita boleh bertanya, mana pertuduhannya di mana-mana mahkamah? Sebelum PRU14 yang lalu, dicanangkan seakan ada skandal besar TH, dan PH janji akan tubuh RCI jika mereka memerintah. Mana RCI yang dijanji?

Setelah kita jadi mual dengan lambakan data-data yang dihidangkan, saya sudah boleh menyimpulkan ‘kesalahan’ besar Dato’ Seri Najib sebelum ini hanya dua sahaja iaitu, 1) Beri hibah (hadiah) kepada umat Islam yang mencarum melebihi kemampuan semasa TH, dan 2) Mengekal kos haji yang semakin meningkat dengan subsidi yang bertambah-tambah setiap tahun sehingga menjadi liabiliti kepada TH.

Setakat semakan saya terhadap semua ulasan pakar-pakar PH yang mempertahankan dan mewakili TH, kedua kesalahan inilah yang mereka timbulkan. Perkara yang sama diulang-ulangkan sehingga pada pandangan saya, semakin banyak tulisan mereka seumpama ini semakin memperkukuhkan dapatan saya, iaitu memang inilah ‘kesalahan’ yang dibuat oleh Dato’ Seri Najib terhadap TH di zamannya.

Kerajaan PH boleh jemput banyak lagi firma-firma audit berpengkalan di Barat, diyakini mereka akan temui lagi perkara yang sama. Tindakan Dato’ Seri Najib dan pengurusan TH yang lepas dari segi perakaunan dan perundangan (Akta TH) adalah salah sepertimana mengikut pertimbangan pengurusan TH hari ini. Mereka menuduh pengurusan lama TH melakukan creative account.

Kita biarkan pakar-pakar perakaunan dan audit berdebat mengenai creative account ini. Ada yang menyokong dan ada pula yang menentang. Cuma saya mengajak orang awam macam saya melihat dari sudut yang lain, iaitu TH ini institusi apa sebenarnya? Adakah TH institusi kewangan atau badan korporat, atau TH ini adalah organ organisasi kerajaan atau sebahagian instrumen kebajikan kerajaan terhadap rakyat?

Kalau kita lihat TH sebuah institusi kewangan atau badan korporat, memang dua tindakan Dato’ Seri Najib di atas adalah salah. Akan tetapi kalau kita lihat TH sebagai satu organ dalam organisasi kerajaan atau sebahagian instrumen kebajikan kerajaan kepada rakyat, dua tindakan itu adalah betul. Dengan kata lain, kedua-dua tindakan itu salah dari segi perakaunan dan perundangan, tetapi betul dari segi kebajikan.

Tindakan-tindakan Dato’ Seri Najib salah dari segi perakaunan dan perundangan berdasarkan satu mazhab perakaunan, tetapi terdapat pandangan mazhab perakaunan lain yang berbeza. Bagaimanapun, kedua-dua mazhab perakaunan ini sepakat membenarkan creative account. Sedangkan dari segi kebajikan pula, saya yakin tiada mazhab kebajikan yang menolak pemberian hibah dan pemberian subsidi yang bertambah setiap tahun.

Parti pemerintah yang menguasai kerajaan perlu ingat kerajaan dijalankan bukan macam perjalanan sebuah institusi kewangan dan badan korporat. Biarkan mentaliti seperti ini dianuti oleh pakar-pakar perakaunan dan kewangan seperti yang telahpun mereka suarakan. Bagi sesebuah kerajaan, pertimbangan mereka mestilah untuk kebajikan rakyat dan menggembirakan mereka.

Bagi sesebuah institusi kewangan dan badan korporat, dana yang mereka beri perlu dapat pulangan dana yang lebih besar atau paling tidak setimpal termasuklah dana Tanggungjawab Sosial Syarikat (CSR). Bagi sesebuah kerajaan pula tidak boleh pertimbangan seperti itu. Ada agensi kerajaan yang hanya berbelanja untuk rakyat dan ada agensi kerajaan yang berperanan jana pendapatan.

Kementerian berkaitan pendidikan, kesihatan, kebajikan dan lain-lain, memang peranan mereka mengagihkan harta negara untuk rakyat, jadi peranan mereka lebih besar berbelanja. Kementerian berkaitan kewangan, ekonomi, perdagangan dan lain-lain pula, peranannya untuk gerakkan kegiatan ekonomi, iaitu berperanan untuk jana pendapatan. Bila masing-masing bersinergi, maka wujudkan bajet berimbang.

Persoalannya pada perkiraan kerajaan PH sekarang, TH ini apa? Adakah TH institusi kewangan atau organ organisasi kerajaan? Kalau ia sebuah organ organisasi kerajaan, adakah ia dalam kategori agensi berbelanja untuk rakyat atau agensi menjana pendapatan? Pada penilaian saya, Dato’ Seri Najib sebelum ini melihat TH sebahagian organisasi kerajaan untuk berbelanja kepada rakyat, di samping menjana pendapatan sendiri untuk meminimakan bebanan kerajaan.

Bagaimana pula dengan PH? Jika Muafakat Nasional diberi mandat selepas PRU15 kelak, saya yakin TH akan dilihat seperti itu, sebahagian organisasi kerajaan untuk berbelanja kepada rakyat bukan sekadar institusi kewangan. TH adalah sebuah institusi ekonomi ummah untuk kebajikan umat Islam khususnya membantu bakal haji, disamping TH berusaha menjana pendapatan sendiri untuk meringankan bebanan kerajaan..

DR MOHD ZUHDI MARZUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
22 Februari 2020 | 27 Jamadilakhir 1441 – HARAKAHDAILY 22/2/2020

- Advertisement -