Tindas penduduk tapi selindung atas alasan kebajikan

Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA)

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) menegaskan bahawa bantahan terhadap Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) bukan bermaksud penentangnya tidak bersimpati dengan penduduk yang tinggal di bangunan kediaman usang. 

Ketua Penyelarasnya, Dato’ Iskandar A Samad berkata, sememangnya terdapat kediaman seperti flat kos rendah yang sudah uzur dan kos membaik pulihnya tinggi, menjadikan pembinaan semula sebagai langkah lebih praktikal.

“Walau bagaimanapun seperti yang dihujahkan oleh banyak pihak, terdapat akta-akta sedia ada yang membolehkan pembangunan-pembangunan tersebut dirobohkan dan dibangunkan semula tanpa sebarang akta yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pembangunan semula flat Razak Mansion di Sungai Besi, Kuala Lumpur, menjadi Perumahan Awam 1Razak Mansion pada 2014, membuktikan perkara itu boleh dilaksanakan tanpa akta baharu.

Projek itu jelasnya, menyaksikan 658 keluarga penduduk asal berpindah ke kediaman baharu yang lebih luas dan kejayaan pembangunan semula flat Razak Mansion itu merupakan satu bukti tiada keperluan untuk sebarang akta baharu.

Iskandar turut mempersoalkan cadangan menurunkan ambang persetujuan bagi pembangunan semula kepada antara 50 hingga 80 peratus mengikut usia dan keadaan bangunan, berbanding 100 peratus sebelum ini.

“Ini bermakna tugas pemaju lebih mudah, dan REACH bimbang mereka tidak perlu bersungguh-sungguh meyakinkan penduduk kerana ambang persetujuan yang lebih rendah. Justeru, akta baharu ini akan merugikan penduduk kerana ia dilihat memihak kepada pemaju,” katanya. 

Beliau juga menyifatkan akta itu tidak adil kerana suara 20 hingga 50 peratus penduduk akan diketepikan jika ambang persetujuan diturunkan, sekali gus menghilangkan peranan mereka dalam menentukan masa depan pembangunan kediaman mereka. 

“Sudah tentu ini adalah satu kezaliman walau apa sekali tujuan pembangunan semula yang dicadangkan itu. Tidak hairan terdapat Ahli Parlimen yang menganggap akta ini  menguntungkan pemaju kerana mengenepikan kepentingan penduduk,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, REACH menolak akta berkenaan dan menegaskan keperluan pembaharuan semula boleh dilakukan dengan menambah baik akta sedia ada.

“Kepentingan penduduk perlu sentiasa diutamakan. Kita tidak mahu melihat penindasan berselindung di sebalik kebajikan penduduk berlaku,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/2/2025

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!