ADUN Chenor junjung kasih keprihatinan Pemangku Raja Pahang

- Advertisement -

KUANTAN: Ustaz Mujibur Rahman Ishak (PAS-Chenor) mengalu-alukan keprihatinan Pemangku Raja Pahang yang bertitah agar disegerakan usaha membuat penempatan baharu bagi mangsa-mangsa banjir. 

Beliau berucap demikian ketika mengambil bahagian membahaskan ucapan terima kasih titah Pemangku Raja Pahang semasa sidang DUN Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini kelmarin. 

- Advertisement -

“Usaha membina penempatan baharu bagi mangsa-mangsa banjir itu, mengingatkan kita selepas banjir besar di Pahang pada tahun 1971, kerajaan ketika itu telah mengujudkan penempatan baharu bagi penduduk di pinggir sungai Pahang yang dikenali rumah-rumah Rancangan Pemulihan Selepas Banjir (RPSB),” ucap beliau. 

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kepada Sidang DUN bahawa beliau telah dimaklumkan akan kelulusan membina satu balai bomba di kawasan Chenor. 

“Namun saya juga difahamkan masih terdapat permasalahan berhubung dengan perolehan tanah dan beberapa perkara teknikal yang lain menyebabkan usaha ke arah kejayaannya agak perlahan.

“Semoga pihak kerajaan dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan baik, walaupun kita tidak ingin berlakunya tragedi kebakaran berlaku dimana-mana, namun ianya (balai bomba) adalah keperluan yang sangat perlu di bina di sini.

“Jika berlaku kebakaran di sekitar Chenor ini, pihak bomba terpaksa menempuh masa perjalanan sejauh 30 kilometer daripada bandar Maran untuk sampai ke tempat kejadian, ini sudah pastinya melambatkan usaha untuk memadam kebakaran,” katanya.

Sementara itu, Ustaz Mujibur sekali lagi menyuarakan permasalahan air yang sering terganggu di Pekan Chenor terutamanya di Perumahan Jayadiri dan Kampung Lanting serta beberapa kawasan sekitarnya. 

“Saya memohon agar pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dapat meluluskan satu bajet bagi menukar ganti paip-paip yang sudah berusia,” katanya.

Dalam menyentuh isu air di Pekan Awah pula, Ustaz Mujibur berkata Suruhanjaya Pemulihan Air Negara (SPAN) telah meluluskan RM20.24 juta peruntukan daripada Kementerian Kewangan untuk PAIP.

Di mana menurutnya, sejumlah RM3 juta daripadanya adalah untuk penambahbaikan sistem bekalan air di Pekan Awah. 

“Saya mengharapkan dengan peruntukan tersebut berjaya menyelesaikan masalah air yang membelenggu penduduk sekitar Pekan Awah sejak sekian lama,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/4/2022

- Advertisement -