PRK N.48 Ayer Kuning: PAS Tapah kemuka tiga calon

Kalangan anak muda

- Advertisement -

TAPAH: PAS Kawasan Tapah akan mengemukakan tiga nama yang berpontensi untuk dipilih sebagai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, nanti.

- Advertisement -

Menurut Yang Dipertuanya, Abdul Muhaimin Malek, tiga nama yang telah disenarai pendek itu, merupakan anak tempatan dan masing-masing berusia di bawah 50 tahun serta aktif di peringkat akar umbi.

“Kesemua nama yang telah dicadangkan itu, akan dikemukakan kepada PAS Pusat minggu depan, untuk dimuktamadkan pada mesyuarat pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN),” jelas beliau pada kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu menurut beliau, jentera pilihan raya PAS Kawasan Tapah juga mengatur gerak kerja dan bersedia untuk menghadapi PRK itu nanti.

Malah dengan semangat agar kemenangan berpihak kepada PN kata beliau, jentera PAS kawasan berkenaan akan terus memberi komitmen tanpa mengira siapa yang akan dipersetujui sebagai calon nanti.

“Potensi untuk menang tetap ada walaupun sebelum ini calon PN iaitu dari PAS tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu. Tetapi kita ambil semangat daripada PRK Sungai Bakap yang mana PN mencipta kemenangan di DUN yang majoritinya Melayu,” ulas beliau.

Terdahulu katanya, PAS Kawasan Tapah telah mengadakan pertemuan bersama Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad serta Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Rabu lalu, memberi suntikan semangat untuk jentera parti memperkukuh gerak kerja.

Sementara kelmarin, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada kenyataannya memaklumkan gabungan parti itu juga bersetuju mempertaruhkan calon PAS pada PRK di DUN Ayer Kuning itu nanti.

Kerusi N.48 DUN Ayer Kuning, kosong  berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu. – HARAKAHDAILY 2/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!