Normalisasi ubah fitrah manusia mesti dihentikan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyatakan kebimbangan terhadap usaha normalisasi amalan yang bercanggah dengan nilai dan norma masyarakat Malaysia, terutama membabitkan gaya hidup bertentangan dengan fitrah dan ajaran agama. 

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, kebebasan dan hak asasi manusia perlu dihormati, namun tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan prinsip moral serta budaya yang menjadi tunjang masyarakat. 

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat usaha tersusun oleh pihak tertentu untuk mempromosikan gaya hidup bertentangan dengan fitrah dan ajaran agama. 

“Sepertimana yang dilihat ketika program Anugerah Juara Lagu. Kelihatan beberapa orang pempengaruh memakai pakaian seperti wanita.

“Fenomena ini bukan sahaja mencabar nilai-nilai tradisi kita, malah berpotensi merosakkan struktur sosial serta membentuk generasi yang terkeliru dengan identiti dan pegangan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan bahawa sebagai masyarakat yang berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai budaya, arus normalisasi ini tidak boleh dibiarkan berleluasa. 

Justeru, pihaknya menyeru kerajaan, khususnya Kementerian Komunikasi, agar lebih tegas menentang sebarang bentuk promosi yang cuba mengubah norma masyarakat ke arah bertentangan dengan fitrah manusia.

“Kami juga menggesa pihak berwajib untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menyebarkan propaganda yang boleh menggugat kestabilan sosial dan keharmonian negara,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, media perlu memainkan peranan lebih bertanggungjawab dalam menyaring kandungan yang boleh mempengaruhi pemikiran masyarakat secara negatif. 

Beliau turut menegaskan bahawa Dewan Muslimat PAS Malaysia akan terus memperjuangkan nilai murni demi keharmonian dan kesejahteraan rakyat, berpandukan hadis Rasulullah SAW yang melaknat lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki. 

“Jangan biarkan normalisasi transgender berleluasa di bumi Malaysia yang kita cintai,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/2/2025

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!