Tegur tak benci, peluk tak semestinya sayang

- Advertisement -

BILA saya keluarkan status yang berbunyi “Apabila menteri dan rakyat melakukan kesalahan yang serupa tapi layanannya berbeza akan menimbulkan kebencian rakyat pada kerajaan”, semalam, yang berbetulan pula berlakunya isu berkaitan dengan sosok tubuh rakan saya merangkap pimpinan saya iaitu YBM Dato Khairuddin At Takiri, tiba-tiba sepertinya saya terjolok sarang lebah, ada yang menyengat dan ada juga yang menitiskan madu.

Pertama saya ingin jelaskan bahawa YBM Dato Khairuddin adalah sahabat dan pimpinan saya yang saya hormati dan kagumi, apatah lagi dengan pencapaian cemerlangnya ketika ini yang pastinya menimbulkan iri hati dan kedengkian terutama dari penyandang jawatan tersebut dari DAP, saya sebagai ahli PAS sememangnya berbangga dengan pencapaian dan reputasi beliau sebagai seorang menteri daripada PAS.

- Advertisement -

Beliau adalah insan yang membanggakan kami di peringkat bawahan ini, sememangnya ahli PAS dan amilin seperti saya tidak mengharapkan apa-apa dari pimpinan, kami tak harap harta pimpinan, tak harap pujian dari pimpinan, tak harap apa-apa jawatan, kami tak nak tumpang apa-apa pun cuma kami nak tumpang berbangga sahaja dengan kejayaan pemimpin kami, supaya kami di Kampung ini ‘kembang hidung’ bercerita fasal kejayaan dan kehebatan pemimpin kami.

Kejayaan YBM Dato Dr Khairuddin dan beberapa menteri yang lain dari PAS, telah melonjakkan PAS keluar dari tuduhan bahawa PAS hanya memiliki pemimpin dan ahli yang hanya menyengat di masjid, surau dan markas, tetapi pemimpin PAS juga hebat di Kementerian. Kami orang Pahang ini lebih-lebih berbangga dengan beliau kerana bumi kami yang didiami manusia sebahagian besarnya adalah felda sawit dan getah.

Dengan tulisan yang begitu pendek dan sangat umum ada yang menuduh saya menari ikut rentak musuh, ada yang kata saya ambil peluru musuh untuk menembak sesama sendiri, saya tak marah pun kerana saya tahu apa yang saya tulis dan saya pun menulis dalam keadaan sedar dan sebahagian mereka adalah yang saya kenali, mungkin cara mencurahkan kasih sayang antara saya dan dia berlainan.

Kita telah lama mengalami krisis diskriminasi dalam layanan memberikan hukuman, satu ketika ia telah menjadi isu yang menggegarkan dinding politik negara, hilangnya keyakinan rakyat dan kebencian kian membengkak dari kalangan rakyat kepada pimpinan negara, kesannya begitu besar, bukan mudah untuk mengubatinya, antara kehinaan kepada kaum Bani Israel oleh Allah ialah kerana sikapnya yang double standart terhadap hukuman ke atas pemimpin dan bangsanya yang miskin.

Jujur saya katakan, saya tidak menulis kerana isu beliau, ada isu lain, saya pun tak perasan mengenai isu beliau, tujuannya lain, ‘niat menebas lalang tapi tertebas batang serai’, dia insan berharga bagi kami, kami menyayanginya. Walaupun tertebas baunya tetap mewangi, saya tidak nampak isu ini menjatuhkan reputasinya atau memusnahkan karakternya, kerana ianya dibina dengan kerja dan pencapaian dan saya yakin karakternya akan kelihatan lebih hebat bila dia bersedia untuk berlapang dada menerima hukuman yang sama seperti rakyat sekiranya ia adalah kekhilafan, kami sebagai ahli lebih berbangga dan rakyat pasti memuji.

YBM Dato Dr Khairuddin telah ‘merebah lepingkan’, Teresa Kok, satu negara tahu dan memang DAP mencari ruang salah bagi menampung kelemahannya,  DAP adalah musuh, apa sahaja kita buat adalah salah, buat baik salah, buat jahat salah, malahan kalau tak berbuat apa-apa pun tetap salah, picu senjata fitnahnya sentiasa dipetik ke jantung PAS, bila kita dan dia berlawanan, maka tafsiran juga pasti berlawanan, sebagaimana ‘kita melihat api sebagai makhluk, Majusi melihat api sebagai tuhan’.

Sebagai orang yang beriman, tegur menegur dan menasihati adalah sunnah Nabi S.A.W dan ianya adalah arahan Wahyu Ilahi, apatah lagi kita orang PAS yang sering membaca dan fahami Surah Al Asyr, pesan berpesan adalah simbol keimanan dan kasih sayang sesama kita, jangan memandangnya sebagai peluru musuh, bimbang nanti Surah Al Asyr tiada terpakai lagi oleh kita, politik yang dipandu Islam tidak akan membuang walaupun satu ayat dari Al Qur’an untuk diamalkan dalam berpolitik.

Akhirnya saya menulis sekali lagi status saya ‘Apabila menteri dan rakyat melakukan kesalahan yang serupa tapi layanannya berbeza, akan menimbulkan kebencian rakyat pada kerajaan’, mohon difahami, semua ini umum untuk semua menteri, jangan pandang dan tafsir ianya sebagaimana Majusi mentafsirkan api, tapi tafsirkan dia sesuai dengan Surah Al Asyr, jika saya dianggap gunakan peluru musuh, Nabi S.A.W menegur Sahabat dan Sahabat menegur sesama Sahabat, peluru siapa yang mereka gunakan?, tidak lain tidak bukan itulah adalah senjata mukmin bagi tujuan membetulkan kesilapan dan menguatkan lagi jamaah untuk mengalahkan musuh.

YBM Dato Dr Khairuddin tetap sahabat saya dunia dan akhirat, dia tetap pemimpin saya, kami pasti bersaksi di akhirat nanti, saya tak pernah ambil walau pun sebiji pun peluru musuh untuk menembaknya, saya cuma gunakan peluru penabur kalam ilahi untuk menembak hati dan jiwa manusia keseluruhannya, malahan juga tertembak diri saya sendiri.

Sekian terima kasih.

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Amilin PAS Kawasan Kuantan – HARAKAHDAILY 22/8/2020

- Advertisement -