SHAH ALAM: Himpunan Muslimat Muda Selangor yang berlangsung semalam, menjadikan misi menawan Selangor yang diibaratkan sebagai `Malaysia Mini’ sebagai antara matlamat utama.
Pengarah Himpunan Muslimat Selangor, Marya Zakaria berkata, jumlah penduduk negara adalah kira-kira 34 juta orang, manakala Selangor adalah negeri yang mempunyai bilangan penduduk paling ramai, iaitu kira-kira 7.3 juta orang.
Menurutnya, komposisi kaum penduduk Selangor juga hampir menyamai komposisi negara yang menyebabkan Selangor layak digelar `Malaysia Mini’.
“Di Selangor, kira-kira 60 peratus penduduk adalah kaum Melayu, 27 peratus Cina dan 11 peratus kaum India,” katanya ketika Himpunan Muslimat Muda Selangor yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini.
Bertemakan Muslimat Muda: Penyatu Fikrah, Pemacu Kemenangan, antara objektif program ini adalah untuk menyatukan fikrah Muslimat Muda PAS Selangor, mengukuhkan ukhuwah Muslimat Muda PAS Selangor dan membina kesepaduan tenaga kerja Muslimat Muda PAS Selangor bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Lebih 500 peserta menghadiri himpunan ini dengan perasmian dilakukan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri. Turut hadir Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan dan Pengarah Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor, Norazlin Md Samsuddin
Sementara itu, Marya berkata, peranan pengundi wanita juga penting di Selangor kerana statistik menunjukkan 46 peratus penduduk adalah golongan wanita dan 29 peratus dikategorikan sebagai golongan muda kerana berumur 40 tahun ke bawah.
“Namun, kita mengakui bahawa misi menawan Malaysia Mini bukan mudah, tetapi bukan mustahil dan inimemerlukan persediaan rapi,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/2/2025.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!