PRU15: Beri PAS bertanding di 40 Parlimen

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: PAS mesti diberikan sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen untuk ditanding dengan selesa pada PRU15 nanti khususnya di negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari melontarkan cadangan tersebut di Muktamar Tahunan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-61 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), di sini sebentar tadi.

Tegasnya, beliau berharap parti-parti rakan PAS dapat menerima cadangan itu setelah PAS bersabar memberi laluan kepada mereka untuk bertanding dalam PRN Sabah demi mengelak pertembungan sesama sendiri.

Kelantan mempunyai 14 kerusi Parlimen, manakala lapan di Terengganu dan Kedah dengan 15 kerusi, sementara tiga Parlimen bagi negeri Perlis yang jumlah tersebut genap 40 kerusi sebagaimana diminta Fadhli.

Akui beliau, keadaan di Sabah itu sememangnya menyebabkan titisan air mata dan kekecewaan pendukung PAS akur dengan keputusan dan strategi telah dimuktamadkan kepimpinan tertinggi parti.

“Kalau kita boleh bersabar di Sabah, kenapa tidak orang lain bersabar di negeri-negeri yang kita sebutkan tadi? Itu sebagai lontaran awal. Tapi saya tidak mahu melangkaui pimpinan-pimpinan yang ada, sudah tentu mereka akan berunding.

“Tetapi kita nak nyatakan bahawa, kalau kamu ada hasrat, kami juga ada hasrat. Dan in sya Allah kita akan terus walak dan yakin kepada keputusan pimpinan kita,” tegasnya.

Beliau turut menyatakan bahawa Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah arkitek sebenar hingga berlakunya perubahan politik negara baru-baru ini dan bukannya bermula dari Langkah Sheraton.

Tegasnya, Tuan Guru Abdul Hadi telah menggerakkan perubahan politik di negara ini sebagaimana dapat disaksikan kini, maka apabila beliau menuntut bersabar dengan keputusan di Sabah, tidak ada sebab ahli PAS tidak boleh mengikutinya.

“Maka kita sabar kerana in sya Allah buah kemenangannya saya yakin dua tahun, tiga tahun lagi akan datang, kita akan melihat apakah hasil perjuangan hasil kesabaran kita itu in sya Allah,” ujarnya.

Beliau menyeru supaya Pemuda PAS menggerakkan seluruh entiti dimiliki sebagai simbolik kepada persediaan itu agar kemenangan di 40 kerusi akan menjadikan PAS parti yang dapat memainkan peranan penting menentukan kerajaan. – HARAKAHDAILY 12/9/2020

- Advertisement -