TEHRAN: Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei menegaskan negara itu mempertahankan program nuklearnya dan tidak akan teragak-agak untuk meneruskan perkara tersebut.
Bercakap pada hari ini, kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas Israel dan Amerika Syarikat (AS) berikrar untuk menentang cita-cita nuklear Iran.
“Program nuklear Iran yang aman sedang berjalan, dan telah berlangsung selama tiga dekad yang lalu.
“Berdasarkan hak Iran sebagai ahli dalam Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear, pastinya kami tidak akan menunjukkan sebarang kelemahan dalam hal ini,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam pertemuannya bersama Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, semalam berkata, Israel dan AS bertekad untuk menggagalkan cita-cita nuklear Iran serta pengaruhnya di rantau Timur Tengah.
Rubio pula mendakwa Iran berada di sebalik setiap tindakan keganasan, aktiviti yang mendatangkan ketidakstabilan dan segala yang mengancam keamanan serta kestabilan bagi berjuta-juta orang yang menganggap rantau itu sebagai rumah. – AGENSI
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!