
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyelesaikan isu kenaikan harga barang dan ambil peduli golongan petani di negara ini.
Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata, terkini harga santan naik mencanak sehingga RM18 sekilogram manakala di sesetengah mencecah RM20.
“Harga barang mahal, yang terkini santan pun naik harga. Di Negeri Sembilan RM18 manakala beberapa kawasan lain mencecah RM20. Kelapa daripada RM1.80 telah naik RM2.80. Tepung gandum dahulu RM1.35 sekarang RM3. Ayam empat kali naik sejak 2 Januari 2022 hingga 2025.
“Semua naik, kerajaan ni kalau dapat selesai satu masalah pun kira terbaiklah, ya. Tapi nampaknya Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) telah memberi ‘rating’ D. Kalau saya pergi E,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Shahidan turut mengulas isu harga lantai padi RM1,500 yang disifatkan tidak munasabah dan terlalu rendah buat golongan petani.
“Yang Berhormat, saya nak sebut sikit untuk makluman sewa padi sekarang RM1,000 atau RM1,200 sebulan. Tanam padi kebanyakannya dilakukan oleh orang Bangladesh dan Rohingnya RM600 serelung.
“Mesin padi RM180, potong rumput RM70, traktor RM290, baja RM100, racun RM60, pembelian racun RM98. Jumlah kos kita adalah RM2,403.
“Satu padi kita dapat satu tan ya. Satu tan kita akan dapat RM2,000 tapi kalau 1.5 tan, satu relung kita akan dapat tiga ribu ringgit iaitu RM500 subsidi. Jadi pendapatan satu musim petani ialah RM597 satu relung untuk 1.5 tan.
“Jadi sebulan berapa ringgit? RM 99 sebulan. Sekiranya dia bagi harga lantai RM1,800 maka pendapatan bulanan petani adalah RM293. Bahasa mudah ‘hangpa tak kesian kat orangkah, petani terpaksa hidup dalam dunia kemiskinan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau mencadangkan supaya harga lantai padi dinaikkan kepada RM1,800.
“Kalau tak mahu naik RM1,800 naik RM1,700. Tapi jangan kurang sehingga pendapatan mereka bawah RM100 sebulan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/2/2025











