Normalisasi yang membimbangkan: Hilangkah fitrah?

- Advertisement -

KOTA BHARU: Semalam, pentas Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL39) menyaksikan ramai lelaki mengenakan pakaian wanita, satu pemandangan yang kini dilihat bukan lagi sesuatu memalukan, tetapi sebaliknya sebagai fesyen dan trend.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Muslimat PAS Kelantan, Ustazah Asmak Husin berkata, dulu masyarakat kita merasa segan dengan penampilan seperti itu, tetapi sekarang ia telah menjadi perkara biasa.

“Dulu, orang kita malu dan segan, tapi sekarang ia dilihat seperti fesyen dan trend. Ada juga yang saya tengok asalnya tidaklah nampak perempuan sangat pakaiannya tetapi semalam ada yang melebih-lebih dengan cara jalannya dan lain-lain,” kata beliau.

Beliau yang juga selebriti dakwah, menekankan betapa pentingnya untuk ibu bapa memantau pengaruh yang diterima oleh anak-anak, khususnya dari media sosial, cara pergaulan, dan penampilan mereka semakin terbuka.

Beliau berpendapat bahawa normalisasi terhadap perubahan ini semakin parah apabila masyarakat mula menganggapnya sebagai perkara biasa dan lebih membimbangkan apabila industri hiburan turut mengiktirafnya.

“Lebih parah apabila masyarakat mula rasa biasa dan industri mengiktirafnya. Setiap ibu bapa wajib pantau apa yang anak lihat, cara pergaulan, cara berpakaian termasuk bangga dengan penampilan fitrah perempuan atau lelaki,” tambah beliau.

Beliau juga menyentuh isu hak asasi manusia yang semakin digunakan untuk membenarkan tindakan bertentangan dengan fitrah manusia, apabila ada pihak berani bertindak melalui undang-undang dengan alasan hak asasi.

“Setiap ibu bapa wajib pantau apa yang anak lihat khususnya di media sosial, cara pergaulan, cara berpakaian termasuk bangga dengan penampilan fitrah perempuan atau lelaki dan paling penting bagaimana mereka membentuk ‘mindset’ dan prinsip hidup,” ujar beliau.

Menurutnya, untuk mencapai kebahagiaan sejati dan berlandaskan fitrah, ibu bapa perlu mendidik anak-anak dengan cara hidup Islam yang sebenar.

“Kalau nak bahagia secara fitrah, wajib ikut cara hidup Islam. Sesat dalam cahaya rasa seronok dan bahagia tapi lama kelamaan hati jadi kosong dan semakin kusut,” katanya.

Akhir kata, beliau menyeru agar teguran diberikan bukanlah kerana angkuh, tetapi kerana rasa sayang terhadap generasi muda yang berpotensi.

“Saya tengok ramai anak muda kita berpotensi, tetapi sebagai orang tua kami patut tegur sebelum terlambat,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 17/2/2025

- Advertisement -