Satu lagi episod hitam sistem keadilan negara

Penarikan rayuan kes rasuah Zahid Hamidi

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

Penarikan rayuan oleh Peguam Negara terhadap 40 pertuduhan rasuah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes VLN mengecewakan rakyat. Tindakan ini mencetuskan persoalan besar mengenai prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang di Malaysia. Tidak syak lagi ia merupakan satu lagi detik episod hitam dalam sistem keadilan negara.

Keputusan ini mencerminkan seolah-olah wujud dua darjat dalam penguatkuasaan undang-undang. Jika seorang pemimpin tinggi negara boleh dilepaskan tanpa perbicaraan penuh, mengapa rakyat biasa perlu menjalani proses perundangan yang ketat? Perkara ini mencalarkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara dan menggugat prinsip Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesaksamaan di sisi undang-undang

- Advertisement -

Lebih mengejutkan, ini adalah episod kedua melibatkan Zahid Hamidi selepas pengguguran 47 pertuduhan kes Yayasan Akalbudi. Penarikan rayuan ini mencipta duluan berbahaya yang boleh digunakan oleh pihak lain pada masa depan.

Penjelasan diperlukan daripada Peguam Negara dan Perdana Menteri. Adakah keputusan ini dibuat secara bebas atau dipengaruhi oleh pihak tertentu? Rakyat berhak tahu sebab rayuan ini ditarik balik dan siapa yang bertanggungjawab. Tanpa jawapan yang jelas, integriti sistem keadilan akan terus dipersoalkan.

Parti-parti komponen di dalam kerajaan juga nampaknya sedang membisu dalam kes ini. Semuanya sedang enak mengira untung di atas kerusi empuk kabinet dengan melupakan slogan reformasi yang dilaungkan selama ini.

Keputusan ini turut menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa. Malaysia sebelum ini tegas dalam usaha membanteras rasuah, tetapi tindakan ini memberi gambaran sebaliknya. Dunia sedang memerhati.

Rakyat tidak seharusnya diperkecilkan dengan alasan “tidak tahu” atau “tidak terlibat” daripada pihak kerajaan. Jika kerajaan benar-benar komited terhadap kedaulatan undang-undang dan prinsip “kerajaan madani”, maka ketelusan mesti ditegakkan.

Rakyat menuntut keadilan yang sama rata tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Keadilan bukan sekadar untuk dilihat ditegakkan, tetapi mesti dirasai oleh rakyat. Jika rakyat biasa perlu melalui proses perbicaraan penuh, maka pemimpin negara juga harus menerima layanan yang sama.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 14/12/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!