Malaysia menyasarkan status negara berpendapatan tinggi pada 2025

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) memperkenalkan beberapa pembaharuan yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik pada tahun 2025.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara, atau whole-of-nation approach yang melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, industri serta masyarakat dalam satu misi tunggal untuk melaksanakan pembaharuan.

- Advertisement -

Katanya, tujuan pembaharuan bukan hanya untuk menjana kekayaan negara, sebaliknya untuk menangani beberapa cabaran struktur ekonomi, menyediakan tenaga kerja masa hadapan, meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

“Ini juga bagi memastikan pelaksanaan kaedah yang lebih berkesan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya ketika membentangkan usul RMK-12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Secara keseluruhan, Ismail Sabri, berkata terdapat empat matlamat utama yang digariskan sepanjang pelaksanaan RMK-12 bagi tempoh 2021-2025.

“Pertama, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disasarkan pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021-2025. Kedua, purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak kira-kira RM10,000 sebulan pada tahun 2025.

“Ketiga, jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 nisbah 2.5, manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1 nisbah 1.2 pada tahun 2025,” katanya.

Keempat, katanya ialah pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau Green House Gas (GHG) sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, sejajar dengan Perjanjian Paris 2015. – HARAKAHDAILY 27/9/21

- Advertisement -