LAPORAN terperinci Israel mengenai operasi membunuh pemimpin HAMAS, Yahya Sinwar semakin mendedahkan kelemahan tentera Israel khususnya bahagian risikannya.
Pembunuhan itu bukan satu kejayaan perancangan mereka. Sebaliknya ia satu kebetulan. Mereka tidak tahupun orang yang ditembak itu adalah orang nombor 1 yang mereka buru selama ini.
Pada Ahad, 20 Oktober lalu, stesen TV 12 berbahasa Hebrew menyiarkan secara terperinci pertempuran berkenaan di samping menyiarkan klip video dari kamera tentera Israel yang terlibat dalam insiden itu.
Video itu mendedahkan:
Rabu 16 Oktober 2024, jam 10 pagi. Seorang dari Divisyen 450 tentera penjajah Israel melihat pergerakan 3 orang pejuang di Hayyu Til Sultan, timur Rafah. Lalu melaporkan kepada komandannya, “Saya melihat tiga orang bersenjata berjalan di sana dan mereka mungkin telah masuk ke dalam rumah berdekatan.”
Sebentar kemudian sampai satu pasukan dari divisyen berkenaan. Salah seorang tentera melaporkan, “Kelihatan tiga individu, dua berjalan di hadapan dengan berselimut. Seorang lagi berjalan di belakang mereka, memakai jaket tempur dan membawa pistol. Mukanya bertutup.” Mereka tidak menyangka bahawa orang ini adalah Yahya Sinwar.
Kamera yang dipasang pada kepala salah seorang askar Divisyen ke-450, merakam detik-detik pertama pertempuran antara pasukan tentera penjajah dengan kumpulan Yahya Sinwar.
Tentera melepaskan tembakan dan mencederakan tangan Sinwar. Kumpulannya berpecah. Dua orang masuk ke dalam sebuah rumah. Yahya yang cedera menuju ke rumah lain.
Kedengaran seorang tentera berkata, “Saya lihat dia masuk ke dalam rumah ini!”
Yahya yang sememangnya berada dalam rumah berkenaan secara bersendirian dengan beraninya melepaskan tembakan ke arah kumpulan tentera berkenaan menyebabkan salah seorang dari mereka cedera parah.
Ketika Yahya cuba melemparkan bom tangan ke arah mereka, beberapa buah kereta kebal kelihatan menghampiri rumah berkenaan.
Ketua pasukan penjajah mengarahkan sebuah drone diterbangkan ke rumah berkenaan untuk mengetahui kedudukan ‘pejuang’ yang mereka tidak kenali itu.
Rakaman kamera dron menunjukkan Yahya sedang berlindung di tingkat atas rumah berkenaan secara berseorangan dan sedang duduk di atas kerusi.
Menyedari kehadiran dron pihak musuh, Yahya mengambil sebatang kayu dan melemparnya ke arah dron berkenaan. Boleh jadi itulah lontaran akhirnya pada jalan Allah sebelum gugur syahid.
Sebaik mendapat pengesahan wujudnya pejuang dalam rumah berkenaan, tembakan bertalu-talu dilepaskan ke arah rumah berkenaan dari pelbagai arah. Ia berakhir dengan kereta kebal melepaskan tembakan ke arah tingkat dua bangunan berkenaan.
Tentera Israel mengambil masa yang agak lama untuk menyerbu masuk ke dalam rumah yang telah musnah itu. Sememangnya mereka takut musuh mereka masih hidup dan akan menyerang mereka.
Setelah dipastikan keadaan selamat buat mereka, mereka mula menyerbu ke dalam rumah berkenaan. Alangkah terkejutnya apabila mereka dapati orang yang mereka bunuh itu ialah Yahya Sinwar, orang nombor 1 yang mereka buru selama ini.
Mereka sangat gembira dengan kejayaan membunuh Yahya Sinwar. Kegembiraan itu mendorong mereka menyebarkan gambar-gambar di media sosial.
Harapan mereka penyiaran gambar berkenaan akan melemahkan semangat para pejuang dan mengangkat imej mereka sebagai golongan yang menang di mata masyarakat dunia.
Malangnya penyiaran gambar-gambar dan berita berkenaan disambut berbeza oleh masyarakat dunia. Sinwar diangkat sebagai hero terhebat abad ini yang sanggup berhadapan dengan musuhnya secara solo di barisan hadapan.
Penyiaran gambar barangan yang ditemui pada jenazahnya juga menyedarkan masyarakat antarabangsa akan kesederhanaan hidup Yahya Sinwar. Hanya sepucuk senapang, biji tasbih, buku zikir, passport, gula-gula dan beberapa keping wang tunai yang dipaparkan.
Justeru masyarakat antarabangsa melihat pengumuman Perancis dan British pada November 2023 untuk membekukan segala aset dan harta milik Yahya Sinwar adalah suatu keputusan yang kelakar.
Dunia melihat Yahya Sinwar sebagai hero. Sedang Israel dilihat pihak yang gagal. Hanya mampu membunuh secara kebetulan.
Melihat respon antarabangsa yang tidak memihak kepada mereka, Israel sejak hari tersebut cuba mencipta senario berbeza.
USTAZ ARIS HAZLAN ISMAIL
Maran, Pahang – HARAKAHDAILY 23/10/2024