Program Kasih Semenyih perjelas kekeliruan terhadap Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih telah menganjurkan Program Kasih Semenyih Bersama Komuniti India DUN Semenyih, semalam.

ADUN Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz berkata, program itu bertujuan memberi pencerahan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan terhadap Islam serta mengatasi pertembungan budaya yang mungkin timbul dalam masyarakat berbilang kaum.

“Sesi khas soal jawab telah diadakan, di mana ramai belia daripada komuniti India mengambil peluang untuk mendapatkan penjelasan mengenai komitmen Perikatan Nasional terhadap masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam,” ujar beliau dalam hantaran di media sosial miliknya.

- Advertisement -

Di samping itu, menurutnya program itu turut mengiktiraf dan menganugerahkan pencapaian Young Indian Personalities of N.24 Semenyih kepada 10 individu belia yang cemerlang dalam bidang pendidikan, sukan, dan kemahiran.

Jelasnya, ia merupakan satu langkah positif dalam memperkukuhkan semangat perpaduan melalui pengiktirafan dan penghargaan kepada usaha gigih mereka.

Beliau berkata, para tetamu juga disajikan dengan hidangan nasi beriani power, menyemarakkan lagi suasana mesra dan harmoni sepanjang program.

“Inisiatif seperti ini adalah manifestasi komitmen Pusat Khidmat ADN Semenyih dalam meningkatkan kefahaman dan membina keharmonian Masyarakat,” ujarnya yang juga Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih diucapkan kepada Pegawai Khas Kaum India DUN Semenyih, Poobalan atas usaha mengatur program itu.

Ustaz Nushi turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan, Ketua DHPP Negeri Melaka, Dr. Shawn Loh, dan Naib Ketua DHPP Negeri Selangor, Dato’ Dr. Pannir Selvam yang hadir memberi sokongan pada majlis tersebut. – HARAKAHDAILY 30/9/2024

- Advertisement -