Rakyat Kelantan hilang seorang lagi ulama

- Advertisement -

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan kehilangan seorang ulama yang istiqamah menabur ilmunya apabila Ustaz Mohamad Mustafa, 65, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada jam 11.21 malam tadi.

- Advertisement -

Allahyarham juga merupakan bekas Ahli Parlimen Peringat dan ADUN Demit difahamkan meninggal akibat serangan jantung.

Setiausaha PAS Kubang Kerian, Mohd Nuri Yaakob berkata, pada Jumaat lepas arwah terjatuh di rumah, namun sempat bertongkat dengan tangan.

“Pada Sabtu dan Ahad beliau mengadu sakit dada dan semalam dibawa ke HUSM kerana ada temujanji dengan doktor.

“Ketika itu nadinya 180 dan terus masuk zon merah dan meninggal dunia tengah malam tadi,” katanya di sini.

Allahyarham seorang ulama disegani di negara ini pernah berdakwah sehingga ke Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Beliau meninggalkan lima anak, manakala isterinya meninggal dunia beberapa tahun lepas. Jenazahnya akan dikebumikan di Kampung Huda hari ini.

Sementara itu Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud merakam ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Semoga diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. Semoga roh beliau ditempatkan dalam kalangan para solihin dan segala amal ibadahnya diterima oleh Allah SWT. Al-Fatihah,” katanya di sini.

Allahyarham berkhidmat sebagai Senator selama sepenggal (2017-2020), sebelum itu Adun Demit selama sepenggal (2008-2013) dan mantan Ahli Parlimen Peringat selama sepenggal (1999-2004). – HARAKAHDAILY 10/9/2024

- Advertisement -