JOHOR BAHRU: Kejadian kes pembunuhan kejam yang semakin kerap berlaku pada waktu ini harus ditangani dengan memperkasakan pendidikan Islam dalam kalangan rakyat.
Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial (LKKS) PAS Johor, Halim Othman Kepol berkata ia adalah langkah yang boleh diambil kerajaan sebagai solusi bagi menangani masalah sosial yang semakin bobrok dan parah.
“Islam ada jalannya, memelihara nyawa merupakan prinsip kedua Maqasid Syariah yang sangat penting bagi memastikan kelangsungan kehidupan makhluk ciptaan Allah.
“Islam meletakkan harga yang amat tinggi ke atas nyawa setiap makhluk. Nyawa seseorang manusia tidak boleh diambil atau ditamatkan sewenang-wenangnya tanpa hak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dimuatnaik di laman Facebook rasmi LKKS PAS Johor sebentar tadi sebagai mengulas kejadian pembunuhan kejam melibatkan seorang guru, Istiqomah Ahmad Rozi dari Kota Masai baru-baru ini.
Tambah Halim, semua makhluk berhak untuk hidup dengan tenang, kerana itu menjadi tanggungjawab ulil amri untuk mengelakkan perkara-perkara yang boleh memudaratkan nyawa rakyat.
Menurut beliau, apabila nyawa tidak terpelihara maka negara dan hidup rakyat akan menghadapi kemusnahan iaitu keresahan rakyat.
“Maka kami Lajnah Kebajikan Dan Keprihatinan Sosial PAS Johor mencadangkan iaitu memperkasakan pendidikan Islam di sekolah-sekolah dan perhebat majlis ilmu di masjid atau surau di jabatan kerajaan dan swasta dengan keutamaan ilmu berasakan akidah dan iman.
“Saya percaya pihak Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) ada banyak pilihan kitab-kitab yang perlu diketengah untuk melancarkan gerakan majlis ilmu tersebut terutamanya Kitab Mustika Hadis terbitan Jabatan Perdana Menteri,” ujarnya.
Selain itu, katanya, untuk meningkatkan keselamatan maka PDRM perlu memperkasakan semula community policing.
Tambahnya, pemasangan CCTV di lokasi-lokasi umum dan hot spot perlu ditingkatkan demi menjamin keselamatan dan keselesaan rakyat.
“Ini satu peringatan kepada kita semua, semoga masyarakat juga perlu ingat sesungguhnya sifat ikhwan saling menghormati dan tolong-menolong antara satu sama lain adalah sifat yang mulia dikasihi Allah SWT,” ujarnya.
Halim dalam kenyataan itu turut memaklumkan bahawa pihak Skuad Prihatin LKLS PAS Johor juga telah mengadakan kunjungan ke atas keluarga Allahyarham pada Isnin lepas. (Foto atas)
Jelasnya rombongan itu yang diketuai oleh timbalannya, Abd. Aziz Abdullah turut disertai pimpinan PAS Kawasan Tebrau dan Cawangan Kota Masai dan pimpinan lajnah tersebut di peringkat kawasan.
Beliau dalam kenyataannya itu juga mengajak semua umat Islam agar sama-sama mendoakan semoga roh Allahyarham Cikgu Istiqomah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang solihin ahli jannah dan mengharapkan agar ahli keluarga Allahyarham tabah menghadapi ujian dan reda dengan ketentuan Allah.
“Pihak keluarga khususnya suami Allahyarham, Saudara Mohd Yusof Mokhtar sangat-sangat mengharapkan tindakan tegas kepada penjenayah dan keadilan ditegakkan membela arwah isterinya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 14/8/2024