
GUA MUSANG: Calon Umno, Azmawi Fitri Abdul Ghani dianggap tidak serius menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri kerana tiada manifesto yang dikemukakan untuk dinilai rakyat.
Yang Dipertua PAS Besut, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, amat jarang berlaku setiap pilihan raya calon yang bertanding tiada tawaran khusus untuk rakyat.
Katanya difahamkan calon BN DUN Nenggiri hanya mengemukakan satu tawaran berbanding 37 agenda dikemukakan calon PN, Rizwadi Ismail.
Menurutnya mungkin mereka tidak berani atau tidak mahu berjanji lagi sebagaimana yang sering berlaku sebelum ini.
“Apa yang jelas kita lihat mereka (Umno) sebenarnya tidak yakin untuk menang di DUN Nenggiri memandangkan sering berjanji yang akhirnya tinggal janji,” katanya ketika ditemui di Pos Tohoi semalam.
ADUN Jertih itu juga mengunjungi dari rumah ke rumah masyarakat Orang Asli bagi memastikan mereka keluar mengundi Sabtu ini.
Katanya beliau berkampung bersama kepimpinan PAS Besut, Pemuda dan muslimat di Pos Tohoi sehingga 17 Ogos ini.
Pada malam tadi diadakan program Santai Anak Muda, Busking Dakwah, Kuliah Maghrib dan Kuliah Subuh di Pos Tohoi bersama masyarakat Orang Asli.
Zua XPDC antara yang diundang menjayakan program berkenaan. Zua atau nama sebenarnya Azuar Md Tasi merupakan artis hijrah adalah pemain bass Kumpulan XPDC. – HARAKAHDAILY 14/8/2024











