10 golongan berkaitan arak yang dilaknat Allah

Harun Esa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu arak yang melibatkan institusi pendidikan secara jelas ditolak oleh rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Menurut Pengerusi Lajnah Dakwah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ustaz Harun Esa berkata, kesedaran ini timbul apabila banyak kes yang melibatkan arak pasti berakhir dengan keburukan sama ada dari sudut kesihatan, kehidupan berkeluarga, kemalangan dan agama.  

“Hal ini kerana ia melibatkan semua rakyat Malaysia sama ada Muslim atau bukan Muslim,” katanya dalam satu kenyataan melalui DPPM.

- Advertisement -

Beliau turut berkata, dalam Islam jelas Allah SWT melarang umat Islam terlibat dengan apa jua proses yang melibatkan arak.

“Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah, ayat 90 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Sehubungan itu, Harun menyatakan, “Amat tidak wajar jika sekiranya generasi baru didedahkan dengan promosi sedemikian yang akan memberi kesan buruk kepada mereka. 

“Masih banyak peluang sumbangan yang boleh disalurkan kepada institusi pendidikan bagi memastikan hanya didikan positif yang sampai kepada para pelajar,” ujarnya.

Tambah beliau, berlakunya insiden pada kali ini, umat Islam seharusnya mengambil pengajaran serius mengenai besarnya larangan Islam tentang arak. 

Rasulullah SAW melaknat 10 golongan yang terlibat dalam isu arak: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta membawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.”

Justeru, beliau meminta agar semua masyarakat di luar sana dapat hadam secara tuntas terhadap 10 golongan yang dilaknat oleh Allah SWT melibatkan arak. 

“Golongan pertama ialah pekerja sebagai pemerah arak. Mereka ini melakukan kerja memerah buah-buahan seperti anggur bertujuan bagi menghasilkan arak samada menggunakan teknologi moden atau cara lama. Upah atau gaji daripada pendapatan yang diperolehi itu adalah haram begitu juga perbuatannya.

“Kedua, meminta diperahkan arak untuknya. Bermaksud majikan atau pengurus sesebuah syarikat yang mengaji beberapa orang pekerja di kilangnya untuk bekerja sebagai operator pengeluaran. Maka, haramlah pekerjaannya itu. 

“Ketiga, peminum arak. Orang yang minum arak walaupun setitik, tidak mabuk atau hanya cuba-cuba. Maka, perbuatan itu juga adalah haram,” jelas beliau.

Tambah Harun, golongan keempat ialah pembawa arak, yang boleh dimaksudkan sebagai pelayan di sesebuah restoran, kedai makan, hotel, mahupun pemandu lori yang turut membawa muatan arak dari sesuatu tempat ke suatu tempat yang lain. 

“Perbuatan itu adalah haram walaupun ia tidak meminumnya,” ujarnya. 

Golongan kelima ialah yang meminta dibawakan arak kepadanya, bermaksud seseorang yang membuat pesanan arak samada untuk diminum ataupun di simpan sebagai koleksi

“Maka,  perbuatan itu adalah haram,” katanya.

“Golongan keenam ialah yang  memberi minum arak kepada orang lain. Bermaksud seseorang yang memberi orang lain minum padahal dia tidak meminumnya. Contohnya, seorang muslim membelanjakan rakan bukan Islam minum arak di sebuah restoran. 

“Yang ketujuh ialah penjual arak, iaitu tuan kedai atau pemilik restoran yang menjual arak kepada pelanggannya walaupun dia tidak meminumnya. 

Golongan kelapan, tambah Harun, ialah orang yang mendapat hasil daripada arak. 

“Suatu skop yang lebih luas dan pelbagai. Merupakan sebarang aktiviti berkaitan dengan arak. Contohnya, pengawal keselamatan yang mengawal keselamatan kilang arak dan mendapat gaji daripada pengurus kilang tersebut. Maka, perbuatan dan segala upah atau gaji yang diperolehi itu adalah haram.

“Golongan kesembilan ialah orang yang membeli arak, yang membeli arak sama ada untuk diminum atau tidak, maka, perbuatan itu juga haram,” jelasnya lagi.

“Golongan kesepuluh, orang yang meminta dibelikan arak untuknya. Seseorang yang meminta orang lain membelikan arak untuknya disebabkan hal tertentu. Contohnya, seorang lalaki Islam meminta rakan bukan Islam membelikan arak untuknya. Maka, perbuatan lelaki Islam itu adalah haram.

“Oleh itu, sama-sama kita bantah segala bentuk promosikan arak dalam kalangan rakyat Malaysia kerana ia hanya meninggalkan kesan buruk kepada negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!