PN Kelantan susun gerak misi pertahan DUN Nenggiri

Wan Roslan Wan Hamat
- Advertisement -

KOTA BHARU: Jabatan Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) Kelantan akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat bagi membincang persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos ini.

- Advertisement -

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, mesyuarat itu bagi menyusun gerak dalam misi mempertahankan DUN terbabit.

“Gerak kerja kita untuk memastikan Nenggiri kekal milik PN pada PRK tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Pagi tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK DUN Nenggiri akan diadakan pada 17 Ogos, pengundian awal (13 Ogos) dan penamaan calon (3 Ogos).

SPR menggunakan Daftar Pemilih yang dikemaskini pada 18 Jun lepas membabitkan seramai 20,259 pengundi. Pilihan raya tersebut membabitkan kos sebanyak RM1.6 juta.

PRK tersebut diadakan berikutan kerusi DUN Nenggiri diisytiharkan kosong berikutan bekas ADUN, Mohd Azizi Abu Naim didapati melanggar Akta Anti Lompat Parti apabila penyokong pihak lawan.

Bagaimana usaha bekas ADUN Bersatu terbabit membuat injunksi bagi menangguh pilihan raya diadakan ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Sementara itu Yang Dipertua PAS Gua Musang, Azman Ahmad berkata, pihaknya mengadakan mesyuarat petang tadi bagi membincangkan gerak kerja pilihan raya.

Menurutnya, pemilihan calon yang mampu menang penting dalam usaha mempertahankan DUN Nenggiri bagi mengelakkan berulang peristiwa beralih sokongan selepas mendapat mandat rakyat.

“Tinjauan awal ke lokasi pilihan raya juga sudah dilakukan bagi memperkemaskan jentera pilihan raya peringkat kawasan dan DUN,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/6/2024

- Advertisement -