Undi Abang Abidin untuk hijrahkan Sungai Bakap

Teruskan perjuangan Almarhum Abang Zam

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) PRK N.20 DUN Sungai Bakap, Abidin Ismail atau Abang Abidin merupakan orang kuat dan tulang belakang kepada ADUN Sungai Bakap, Almarhum Nor Zamri Latiff atau Abang Zam.

ADUN Pulau Betong, Mohamad Shukor Zakariah berkata, ke manapun Abang Zam pergi, Almarhum akan bersama dengan Abang Abidin, sekali gus bersama merasai segala tribulasi perjuangan dan bukanlah orang yang baharu belajar atau terlibat politik.

Menurut beliau, Abang Abidin sudah lama dalam kancah politik serta sangat berpengalaman bersama Abang Zam dalam usaha menangani atau menyelesaikan pelbagai permasalahan penduduk warga Sungai Bakap.

“Cuba kita tengok sikap Abang Zam yang kita sangat-sangat teruja. Bayangkan 12 Ogos (2023) diberikan kemenangan (PRN15 kerusi N.20 DUN Sungai Bakap) kepada Abang Zam. (Pada) 14 Ogos, beliau sudah naik ke KOMTAR (Pejabat Pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang).

“Untuk apa? Untuk mengatasi isu air (di Sungai Bakap). Inilah (wakil rakyat) yang kita harapkan. Tengok bagaimana sikap dia seorang pemimpin yang menjadi contoh, the role model. Bukan main-main, bukan seronok-seronok jadi pemimpin

“Pemimpin ini berat tanggungjawab, amanahnya. Bukan nak glamour,” ujar beliau pada pada Ceramah Kelompok PN sempena PRK N.20 DUN Sungai Bakap di Taman Tasek Maju, UDM Tasek Junjong, di sini semalam.

Shukor turut mengimbas Almarhum Abang Zam semasa Sidang DUN Pulau Pinang yang menggesa kerajaan negeri mengambil berat masalah air di Taman Seruling Emas, Taman Widuri, Sungai Bakap, Kampung Sungai Duri, Padang Ara, Kampung Sungai Baung dan juga kawasan industri Sungai Baung.

“Tiga penggal daripada PKR-PH pegang Sungai Bakap. Apa depa buat? Tiga penggal yang hangpa dah pegang. Bila nak buat lagi? Bila nak bantu rakyat. Tengok, sedihnya Mukim Lima. Daripada pukul 6 pagi, daripada 6 petang sampai 12 malam tak dak air.

“Enam jam tak dak air. Sampai ada kata dua belas jam pun tak dak air. Sampai hari ni, masih lagi berlaku. Jadi isu ini bukan main, Abang Zam sudah pun menjadi pelopor kepada isu air ini,” ujarnya yakin Abang Abidin akan meneruskannya.

Beliau turut mengajak para pengundi yang akan melaksanakan tanggungjawab pada 6 Julai nanti iaitu hari sebelum 1 Muharram untuk mengambil semangat Hijrah Rasulullah SAW bagi memenangkan Abang Abidin bagi membawa satu hijrah untuk Sungai Bakap.

Jelas beliau, hijrah untuk menyelesaikan masalah-masalah di situ dan membawa Sungai Bakap kepada yang lebih baik mesti bermula dengan memilih pemimpin dan PN menawarkan calon terbaik iaitu Abang Abidin. – HARAKAHDAILY 25/6/2024

- Advertisement -
- Advertisement -