Menunaikan ibadah haji mengajar erti kesabaran

Muhammad Zahid
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Pengalaman menunaikan haji di Baitullah mengajar kita sebagai umat Islam agar mempunyai kesabaran yang tinggi.”

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Gerakan Keadilan Monetori Malaysia (Movement of Monetory Justice), Muhammad Zahid Abdul Aziz berkata, beliau bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat menunaikan haji pada 5 Januari 2007 ketika beliau bertugas sebagai Penasihat Perbankan Islam di Riyadh, Arab Saudi.

- Advertisement -

“Saya merupakan antara sekumpulan jemaah haji tempatan yang pada ketika itu dipimpin oleh Ustaz Hassan Patani dan dua pembantunya yang merupakan pelajar Universiti Imam Saud,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, ibadah haji yang dilakukannya pada ketika itu adalah Haji Ifrad iaitu seseorang hanya perlu melakukan haji tanpa menunaikan umrah.

Tambah beliau, terdapat banyak cabaran yang perlu dihadapi dalam menunaikan rukun Islam yang kelima tersebut yang benar-benar mengajar dirinya erti kesabaran dalam beribadah.

“Antaranya ialah kesesakan lalu lintas yang luar biasa yang mana perkara tersebut sudah dijangka apabila berjuta-juta umat Islam bergerak dari Mina ke Arafah pada awal pagi.

“Ustaz Hassan telah berpesan bahawa haji terbahagi kepada rukun dan wajib haji. Jika seseorang tertinggal syarat wajib haji maka dia perlu membayar denda iaitu berbentuk secupak beras atau menyembelih seekor kambing dan kemudian beri kepada orang-orang miskin bergantung kepada sejauh mana dia tertinggal syarat wajib haji,” ujarnya.

Tambah beliau, namun jika seseorang itu meninggalkan rukun haji maka gugurlah amalan haji tersebut kepada beliau, dan satu daripada rukun haji ialah wukuf di padang Arafah iaitu dia perlu berada di  padang tersebut, berzikir serta berdoa, sebelum matahari terbenam pada 9 Zulhijjah.

“Bayangkan saya perlu berkumpul di padang Arafah bersama-sama dengan berjuta-juta umat Islam. Ia benar-benar mengajar saya untuk mengingati Allah SWT sepenuhnya dalam apa jua keadaan, dan yang mungkin ada terbayang sedikit keadaan di Padang Mahsyar nanti.

“Terdapat banyak lagi pengalaman yang saya lalui ketika menunaikan haji tetapi semuanya telah dikongsikan dalam blog saya, Zahid’s Anecdotes atau dalam buku saya yang berjudul, Confessions Of An Islamic Banker,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi pengalamannya ketika berjalan kaki menuju ke Mina bagi melakukan ibadah melontar jamarat sambil melaungkan talbiyah yang bermaksud ‘saya hadir ya Allah mengikut PerintahMu’ berulang-ulang kali.

Kata beliau, ia banyak menguji kesabarannya lebih-lebih lagi dengan menghadapi cuaca yang panas dan perlu mengikut  giliran dalam semua perkara bagi mengawal keadaan umat Islam yang terlalu ramai.

“Namun begitu, dengan cara sebegitu Allah SWT mengajar saya di sebalik setiap kesusahan ada kesenangan, dan untuk hanya bergantung kepadaNya dalam apa jua keadaan.

“Malah, ibadah haji banyak mengajar kita erti ukhwah yang sebenar iaitu saling tolong menolong antara satu sama lain,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan kepada sesiapa yang bakal menunaikan haji agar menjaga kesihatan diri dengan baik.

Ini kerana kata beliau, ada kalanya suhu di sana  sangat panas atau sangat sejuk bergantung kepada musim sehingga mungkin ada dalam kalangan jemaah yang tidak mampu menghadapi keadaan sedemikian.

“Ini belum ditambah lagi dengan keadaan mencabar saperti tertinggal kumpulan, tidak dapat sampai kepada khemah tersedia makanan dan minuman dan seumpamanya. Ini ujian yang mudah berlaku apabila ramai manusia berkumpul di sesuatu tempat.

“Namun, apapaling penting dalam menunaikan haji ialah kita kena jaga disiplin dalam beribadah kepada Allah SWT kerana niat kita mesti hanya untuk mendapat keredaan-Nya.

“Apa pun saya doakan kepada mana-mana jemaah haji pada kali ini semoga mendapat haji mabrur,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/6/2024

- Advertisement -