
AHLI Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi ketika mengimbau kenangan sambutan Aidiladha di zaman kanak-kanak dan remajanya, tidak ada perkara hebat yang terakam.
Menurut beliau, keluarganya tidak pernah mengadakan ibadah korban, manakala akikah hanya sempat dilaksanakan ketika beliau dan abangnya masih kecil. Ketika itu, arwah bapa beliau seorang jurutera, tetapi hanya mampu melakukan akikah sebelum jatuh sakit.
Sebagai anak kedua daripada lapan beradik, Rushdan mengimbau kenangan selepas kematian arwah bapa pada tahun 2002. Selepas itu, mereka hanya berpeluang menyertai program korban bermula tahun 2005 apabila masing-masing sudah mula mempunyai kerjaya.
Pada pagi raya haji zaman kanak-kanak, Rushdan bersama adik-beradiknya akan mengikuti arwah bapa ke surau untuk solat Aidiladha. Pesanan arwah bapa, makan selepas pulang dari solat dan kemudian ziarah rumah jiran-jiran seperti sambutan Aidilfitri, termasuk kutipan duit raya. Malamnya dihabiskan dengan melihat kawan-kawan bermain bunga api dan mercun.
Keluarganya akan pulang ke Kampung Dato’ Kayaman untuk beraya di rumah Chaq Kassim yang sering mengadakan korban dan kenduri. Kadang-kadang, mereka balik ke rumah arwah Tok Ayah di Kampung Padang Gerik, Perak, di mana Tok Ayah juga sering mengadakan korban. Di Gerik, mereka dapat menyaksikan permainan meriam buluh selain mercun dan bunga api pada waktu malam dan subuh.
Rushdan mula terlibat dalam program korban melalui Badan Bukan Kerajaan (NGO) ketika di Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin (Kusza) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama sahabat-sahabat NGO di Kemboja, Selatan Thailand dan Indonesia.
“Pengalaman ini sangat berharga, terima kasih kepada rakan-rakan seperti Wan Ab Rahman Wan Hussein, Haji Kamaruddin Kassim dan Dr Azizan Bahari,” katanya.
Beliau belajar bahawa program korban dan ziarah saudara seagama di Selatan Thailand menunjukkan semangat perjuangan anak bangsa di sana.
Meskipun minoriti di Thailand, mereka berjuang untuk pendidikan dan kehidupan yang lebih baik tanpa membezakan politik, mazhab dan taraf ekonomi.
Rushdan berkata, walaupun menghadapi kekangan kewangan tanpa peruntukan sebagai Ahli Parlimen pembangkang, pihaknya berusaha menyediakan dua ekor lembu untuk sumbangan tahun lepas.
Tahun ini, mereka berusaha menyumbang tiga ekor lembu dan menganjurkan program Korban Marhaen dengan harga RM650 hasil kerjasama bersama NGO.
Setakat ini, penyertaan melebihi 10 ekor lembu dan program akan dilaksanakan di pekarangan Masjid Solahuddin Al Ayyubi, Padang Besar.
“InsyaAllah, kami akan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk warga Padang Besar walaupun dengan kekangan yang ada,” ujar Rushdan mengakhiri kenangan indah dan usaha berterusan demi masyarakat. – HARAKAHDAILY 17/6/2024













