Tingkat kerjasama dengan PDRM lindungi pemain TFC

Hishamuddin Abdul Karim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mempertingkatkan kawalan keselamatan terhadap pemain Terengganu FC (TFC) menerusi kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan insiden serangan yang menimpa tiga pemain bola sepak tempatan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, tindakan itu diambil supaya mereka lebih menerima situasi yang berlaku dengan baik.

“Kelmarin kita telah selesai taklimat keselamatan daripada PDRM. Taklimat keselamatan itu untuk semua pemain (TFC), berhubung pergerakan pemain pergi dan balik latihan, pihak polis meminta alamat tempat tinggal supaya semua berada dalam maklumat polis.

“Jadi perkara ini dipandang serius, kita ucapkan terima kasih kepada PDRM kerana sangat memperhalusi perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pentauliahan Ketua Kontinjen, Timbalan Ketua Kontinjen, Bapa Angkat dan Jabatan Angkat Sukan sempena Temasya Sukma XXI Sarawak 2024 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Pada Ahad, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden pemain Selangor FC, Faisal Halim cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Selangor.

Sebelum itu pada Khamis, pemain TFC Muhammad Akhyar Abdul Rashid cedera di kepala dan kaki selepas diserang dua individu dipercayai penyamun di kawasan kediamannya di sini.

Terbaru, cermin kereta bekas ketua pasukan skuad bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim dipecahkan oleh individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan Johor Darul Ta’zim (JDT), di Sri Gelam, Johor Bahru.

“Kita juga akan membuat solat hajat untuk keselamatan dan kesejahteraan Akhyar dan pemain-pemain lain termasuk Faisal Halim.

“Walaupun bukan dari pasukan kita, saya menyeru supaya rakyat Terengganu solat hajat dan mendoakan ke arah lebih baik buat Faisal,” kata Hishamuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh.

Mengulas berhubung perkembangan terkini pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) itu katanya, fizikal Akhyar tiada mengalami masalah cuma beberapa bahagian  luka memerlukan masa untuk sembuh.

 “Trauma memang ada. Kita bagi masa beliau dan keluarganya untuk sama-sama membantu memulihkan trauma yang dialami.

“Di samping itu, pihak kita telah memikirkan beberapa sokongan lain terutama dalam sudut pemulihan trauma.

“Saya jangka dalam beberpa perlawanan awal mungkin Akhyar tidak akan sertai, tetapi dia akan mula berlatih selepas sesi pemulihan,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/5/2024

- Advertisement -