Sukma Sarawak: Terengganu sasar 75 pingat emas

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu meletakkan sasaran 75 pingat emas dalam Sukma XXI Sarawak 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sasaran itu diletak lebih besar bagi merampas kembali kejayaan yang pernah dimiliki sebelum ini.

“Alhamdulillah kita telah melancarkan countdown kita 100 hari ke Sukma Negeri Sarawak dan cita-cita kita pada tahun ini besar untuk kita merampas kejayaan yang pernah dimiliki oleh negeri Terengganu pada 2018, tiada yang mustahil insya-Allah.

“Kita telah berusaha berlatih sekian lama dan pada hari ini kita telah memberi tiket kepada Tun Ahmad Faisal yang akan mengemudi bersama dengan atlet-atlet Negeri Terengganu,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pentauliahan Ketua Kontinjen, Timbalan Ketua Kontinjen, Bapa Angkat dan Jabatan Angkat Sukan sempena Temasya Sukma XXI Sarawak 2024 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut Ahmad Samsuri, dalam misi merampas semula gelaran juara keseluruhan Sukma, Terengganu juga cuba mendapatkan pingat emas dalam sukan baharu.

“Semua tahu di mana kekuatan Negeri Terengganu dan insya-Allah kita juga ada sukan-sukan baru yang kita akan cuba dapat pingat emas.

“Sukan kegemaran rasa semua tahu Terengganu kita pelayaran, basikal, olahraga pun kita tidak kurang,” katanya.

Beliau berkata, kontinjen Terengganu di Sukma Sarawak nanti akan diwakili 1,076 atlet, pengurus dan jurulatih dalam 36 jenis sukan yang disertai daripada 37 yang dipertandingkan.

Sementara, kata beliau, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan meningkatkan kerjasama dengan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) bagi mengekang isu doping daripada berlaku dalam kalangan atlet. – HARAKAHDAILY 8/5/2024

- Advertisement -