Terengganu simpati pemain bola jadi mangsa jenayah

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menzahirkan rasa simpati terhadap kesemua pemain bola sepak yang menjadi mangsa terbaharu insiden jenayah.

- Advertisement -

Menurut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, perkara itu tidak sepatutnya berlaku di dalam negara ini.

“Tidak kira siapa jua tidak patut berlaku dalam negara kita dan kita rasa simpati kepada pemain bola yang menjadi mangsa.

“Hari ini pula kata ada seorang lagi pemain yang keretanya dirosakkan. Ini situasi perkara baru yang berlaku yang membimbangkan.

“Harapnya ini bukan satu trend baru dan semua pihak harus menghormati semua kalangan termasuk ahli sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pentauliahan Ketua Kontinjen, Timbalan Ketua Kontinjen, Bapa Angkat dan Jabatan Angkat Sukan sempena Temasya Sukma XXI Sarawak 2024 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Pada Ahad, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden pemain Selangor FC, Muhammad Faisal Abdul Halim atau dikenali Faisal Halim cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Selangor.

Sebelum itu pada Khamis, pemain TFC Muhammad Akhyar Abdul Rashid cedera di kepala dan kaki selepas diserang dua individu dipercayai penyamun di kawasan kediamannya di sini.

Terbaru, cermin kereta bekas ketua pasukan skuad bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim dipecahkan oleh individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan Johor Darul Ta’zim (JDT), di Sri Gelam, Johor Bahru. – HARAKAHDAILY 8/5/2024

- Advertisement -