Alternatif tangani masalah bekalan air di Sungai Lalang

- Advertisement -

ALOR SETAR: Beberapa alternatif akan diambil untuk memastikan isu bekalan air di sekitar Daerah Kuala Muda dapat ditangani sementara menunggu Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau siap.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Mohamad Yusuf@Munir Zakaria memaklumkan, antara langkah diambil ialah membaik pulih tangki berkapasiti 830,000 juta gelen sedia ada.

“Kita (telah) adakan perbincangan bersama wakil Hunza Properties dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) berkaitan dengan isu bekalan air (khususnya) di Taman Sri Baru 2, di Sungai Lalang.

“Di kawasan itu kerap berlaku masalah bekalan air, jadi ini merupakan langkah sederhana agar kerja baik pulih tangki 830,000 juta gelen yang sedia ada itu disiapkan.

“Ini antara langkah alternatif untuk menyalurkan bekalan air ke kawasan berkenaan sementara kerja-kerja naik taraf LRA Bukit Selambau siap sepenuhnya,” katanya.

Beliau memaklumkan perkara itu selepas mengadakan berbincangan bersama wakil Hunza Properties dan SADA di pejabatnya di Wisma Darul Aman, di sini pagi tadi.

Terdahulu, Munir bersama ADUN Tanjung Dawai, Ustaz Hanif Ghazali berserta wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pemaju turun meninjau kerja-kerja pemasangan paip sekitar Tanjung Dawai, semalam.

“Semoga usaha kerajaan negeri menyelesaikan masalah bekalan air di Kedah ini berjalan dengan lancar dan mencapai kejayaan serta sama-sama kita doakan semoga segala urusan dipermudahkan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 8/5/2024

- Advertisement -