Masalah tekanan air rendah hantui Kem ATM Gemas

- Advertisement -

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan melalui agensi berkaitan digesa menyelesaikan masalah tekanan air rendah yang dihadapi penghuni Kem Tentera Gemas.

- Advertisement -

Ridzuan Ahmad (PN-Gemas) berkata, aduan mengenai perkara tersebut diterima pihak beliau daripada para pegawai dan anggota yang terlibat.

Tambah beliau, permasalahan itu melibatkan dua entiti iaitu Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dan Kementerian Pertahanan.

“Kita ada berhubung dengan SAINS, mereka mengatakan tekanan air cukup untuk dibekalkan ke dalam kem. Tetapi apabila sampai di dalam kem pemasalahan mula timbul. 

“Saya tidak tahu bagaimana, tetapi saya tahu kepakaran syarikat air di bawah kerajaan negeri boleh membantu Kementerian Pertahanan untuk membantu pegawai-pegawai ini, anggota-anggota ini,” ujarnya.

Beliau menyatakan perkara ini sewaktu Perbahasan Junjung Kasih Titah Di-Raja Persidangan DUN Negeri Sembilan, di sini hari ini.

“Simpati kepada mereka kerana ada yang suami terlibat bekerja luar, jadi isteri dan anak terpaksa mengangkat air daripada luar atau terpaksa pergi ke surau dan masjid untuk mendapatkan sumber air,” ujarnya.

Dalam ucapan sama beliau turut membangkitkan mengenai isu landskap yang suram dan uzur yang mencacatkan pemandangan jalan menuju ke kem tersebut, sedangkan ia terkenal sebagai Kem Tentera terbesar di Asia Tenggara.

“Hari ini saya katakan permasalahan seperti landskap di daerah Gemas yang agak uzur (semenjak) 20 tahun dulu begitu (tiada perubahan) dengan bunga mengkuang.

“Kalau datang ke Gemas, jika di persimpangan Kem Gemas yang merupakan kem terbesar di Asia Tenggara tidak menggambarkan itu adalah kem yang terbesar. Sepi dan landskap yang kurang menceriakan,” ujarnya.

Beliau memohon agar perkara itu dapat diberi perhatian oleh pihak kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 8/5/2024

- Advertisement -